Cadangan gencatan senjata 60 hari tidak memadai – ABIM

SHAH ALAM - Cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari tidak memadai bagi menangani krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, situasi di Gaza bukan semata-mata konflik ketenteraan antara Israel dan Hamas, sebaliknya manifestasi normalisasi kekejaman.
Beliau menambah, keadaan di Gaza turut menunjukkan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta kegagalan masyarakat antarabangsa menegakkan prinsip keadilan dan kemanusiaan.
"Hakikatnya, masyarakat dunia sudah melihat dengan jelas bahawa golongan wanita, kanak-kanak dan orang awam merupakan mangsa sebenar kekejaman tentera Israel yang jelas melakukan tindakan keji itu dengan sengaja.
"Gencatan senjata sementara hanya memberi waktu berhenti sebentar kepada kematian kerana ia bukan penyelesaian kepada penderitaan dialami penduduk Gaza," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Trump pada Selasa dilaporkan berkata Israel bersetuju dengan 'syarat-syarat yang diperlukan' bagi memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari di Semenanjung Gaza.
Ahmad Fahmi berkata, Israel tidak pernah secara jelas komited untuk menghentikan serangan serta usaha genosid terhadap penduduk Palestin sebelum ini.
Justeru, ABIM menyeru kepada tindakan tegas dan menyeluruh seperti penghentian perang secara total dan berkekalan di seluruh wilayah Palestin serta pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza tanpa syarat.
"Antara lain, penamatan segera sekatan, penghentian serta-merta penjajahan dan penempatan haram di Tebing Barat serta pembebasan semua tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak," ujarnya lagi.
Ahmad Fahmi menambah, masyarakat antarabangsa diseru terus bersuara supaya pemimpin serta badan-badan tidak terus berdiam diri daripada mengambil tindakan terhadap kezaliman itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

