KBS gesa BAM segera selesai isu kontrak Pearly-Thinaah

Pearly (kiri) dan M Thinaah (kanan). Foto EPA
Pearly (kiri) dan M Thinaah (kanan). Foto EPA
A
A
A

KOTA BHARU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyegerakan penyelesaian isu kelewatan kontrak melibatkan pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah, yang masih belum dimuktamadkan sejak penghujung tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, isu tersebut tidak seharusnya berlarutan bagi memastikan kestabilan serta fokus atlet menjelang temasya besar akan datang.

“Saya mahu BAM segerakan supaya kita boleh letak titik noktah dalam isu ini, sebab sudah terlalu lama berpanjangan.

“Ini penting kerana saya tidak mahu hal ini menjejaskan prestasi mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cabaran Robotik Belia ASEAN Zon Timur 2025 di Tunjong di sini pada Khamis.

Menurut Hannah, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Presiden BAM telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan sudah pun bertemu dengan pasangan beregu berkenaan.

“Saya tahu Tengku Zafrul sudah bertemu mereka dan saya juga telah meminta BAM menyegerakan penyelesaian ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, Hannah memberi jaminan bahawa kedudukan Pearly dalam program Road to Gold (RTG) tidak terjejas kerana program tersebut memberi keutamaan kepada atlet dalam kelompok 10 terbaik dunia, sama ada yang bernaung di bawah BAM atau bergerak secara profesional.

“RTG memberi sokongan kepada atlet kelompok 10 terbaik dunia, tidak kira mereka dari BAM atau profesional. Jadi, langsung tidak terjejas,” jelasnya.

Terdahulu, kontrak Pearly dan Thinaah bersama BAM dilaporkan tamat pada Disember 2024 dan masih dalam rundingan sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!