Sindiket judi dalam talian didalangi warga China tumpas

ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian yang didalangi warga asing dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Seraya di sini pada Rabu.
Dalam operasi yang dinamakan Ops Serkap, seramai sembilan individu ditahan termasuk tujuh warga China dan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan haram itu.
Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati warga asing terbabit melanggar syarat pas lawatan, manakala dua warga tempatan dipercayai melindungi pendatang asing dan turut terlibat dalam operasi perjudian tersebut,” katanya pada Khamis.
Tambahnya, turut dirampas dalam serbuan itu ialah tujuh pasport milik warga China, beberapa komputer riba dan lebih 30 unit telefon bimbit pelbagai jenama yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
"Kesemua suspek kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 51(5)(a) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63," jelasnya.
Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan pas lawatan atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan tidak bermoral yang melibatkan warga asing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

