Pemilik syarikat pendawaian elektrik didenda RM10,000 tipu PIBG

Mohd Khairudin Ali Amran, 40, ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Khamis.
Mohd Khairudin Ali Amran, 40, ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pemilik syarikat pendawaian elektrik dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini selepas mengaku bersalah memperdaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah berhubung pembekalan televisyen pintar.

Tertuduh, Mohd Khairudin Ali Amran, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

"Mahkamah menerima pengakuan bersalah tertuduh.

"Dengan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap tertuduh, jika gagal hukuman penjara lima bulan dikenakan terhadap kamu," kata Hakim Zulhazmi.

Tertuduh mengaku bersalah menipu PIBG sebuah sekolah pada Mei 2023.
Tertuduh mengaku bersalah menipu PIBG sebuah sekolah pada Mei 2023.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu PIBG Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Balik Pulau dengan mempercayai bahawa enam unit Philips Smart TV bersaiz 65 inci akan dibekalkan seperti mana dinyatakan dalam sebut harga bernilai RM20,000.

Bagaimanapun, hanya empat unit TV dibekalkan, manakala baki dua unit bernilai RM5,600 tidak diserahkan seperti dijanjikan.

Perbuatan itu dilakukan di sekolah terbabit pada 26 Mei 2023.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Mohd Khairudin yang tidak diwakili peguam meminta agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan keluarga.

"Saya perlu menyara isteri, dua anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) serta ibu yang sudah uzur.

"Oleh demikian, saya memohon agar satu hukuman ringan dikenakan mahkamah terhadap saya," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee.

Dalam pendakwaannya, Noor Azura memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam berikutan kesalahan itu melibatkan sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!