1 Julai bukan hari hitam tapi langkah berani bina negara - Mahfuz

Mahfuz,
Mahfuz,
A
A
A

ALOR SETAR - Dakwaan pembangkang bahawa 1 Julai sebagai hari hitam negara susulan pelaksanaan struktur cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperbaharui, disifatkan sebagai kenyataan populis yang tidak berasaskan fakta.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas itu hanya bertujuan membakar sentimen rakyat dan mempermainkan emosi tanpa memahami keperluan sebenar negara dalam memperkukuh ekonomi.

“Pelaksanaan SST yang dikemas kini ini adalah langkah penting untuk memastikan hasil negara dikutip secara telus dan adil, sebelum disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan subsidi bersasar.

"1 Julai bukan hari hitam. Ia adalah langkah berani membina negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan bahawa cukai SST tidak dikenakan ke atas barangan keperluan asas seperti beras, ayam, telur, sayur, ubat, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

“SST menyasarkan perbelanjaan mewah, bukan keperluan asas. Maka yang terkesan adalah golongan berkemampuan tinggi, bukan rakyat kebanyakan,” ujarnya.

Mahfuz turut menegaskan bahawa hasil kutipan SST akan digunakan untuk membiayai pelbagai program bantuan rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menurutnya, kutipan juga digunakan untuk membiayai Bantuan Warga Emas (BWE), Jualan Rahmah, subsidi bahan api, Bantuan Awal Persekolahan dan Klinik Madani.

“Tanpa sistem cukai yang baik, negara akan terus bergantung kepada hutang. Adakah ini yang Pas mahu iaitu hutang demi hutang untuk tampung perbelanjaan negara?” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut membandingkan kadar SST Malaysia dengan negara jiran, yang menurutnya masih rendah.

“Kadar SST kita hanya lapan peratus, sedangkan Indonesia 11 peratus, Filipina 12 peratus, Singapura sembilan peratus. Jadi di mana logiknya kata ini membebankan rakyat?” katanya lagi.

Mahfuz turut menyelar sikap pembangkang yang menurutnya menentang tanpa membawa cadangan membina.

“Mereka juga kutip cukai di negeri yang mereka tadbir. Tapi bila kerajaan pusat bertindak untuk kukuhkan kewangan negara secara berhemah, mereka main sentimen untuk kelirukan rakyat,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin rakyat Malaysia tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi dan menyeru semua pihak agar berani melakukan pembaharuan demi kelangsungan ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!