Singapura kenakan sekatan baharu sempadan

Gambar keadaan di Merlion Park sebelum dan selepas ancaman Covid-19 semakin meningkat di Singapura. - Foto AFP
Gambar keadaan di Merlion Park sebelum dan selepas ancaman Covid-19 semakin meningkat di Singapura. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Singapura akan menyekat kemasukan atau transit mereka yang pernah mempunyai rekod perjalanan ke Itali, Perancis, Sepanyol dan Jerman dalam tempoh 14 hari lalu.

Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini memaklumkan sekatan baharu sempadan yang akan berkuatkuasa pada jam 11.59 tengah malam esok dilaksanakan selepas peningkatan kes import koronavirus (Covid-19).

Dalam tempoh 10 hari lalu, terdapat 23 kes yang diimport atau hampir satu pertiga daripada kes baharu yang dilaporkan dan termasuk 13 kes yang mempunyai rekod perjalanan ke negara Eropah dan enam kes dari Indonesia.

Menurut Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong, kira-kira 47 daripada 187 jangkitan direkodkan di Singapura ialah kes yang diimport.

"Kita tidak boleh berpuas hati dengan pelbagai usaha yang dibuat. Kita masih melihat kes jangkitan baharu pada setiap hari dan semakin banyak kes yang diimport," kata Kim Yong.

Selain itu, rakyat Singapura, penduduk tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang yang pernah berkunjung ke Itali, Perancis dan Jerman dalam tempoh 14 hari lalu juga akan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Difahamkan, kesemua sekatan sempadan itu adalah secara sementara dan akan terus dikaji berdasarkan situasi global. - Agensi

Artikel Berkaitan: