Dinasti Shinawatra goyah

Thaksin Shinawatra bersama Paetongtarn, setibanya di Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok pada 22 Ogos 2023. AFP
Thaksin Shinawatra bersama Paetongtarn, setibanya di Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok pada 22 Ogos 2023. AFP
A
A
A

BANGKOK - Dinasti bilionair Shinawatra yang mendominasi politik Thailand sejak 25 tahun lalu kini berdepan tekanan hebat susulan rampasan kuasa dan siri kes mahkamah, termasuk penggantungan terbaharu ke atas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra.

Segalanya bermula apabila bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang mencipta kekayaan dalam industri telekomunikasi, menceburi dunia politik dan memenangi pilihan raya pada 2001 serta 2005 dan menjadi pemimpin pertama mengetuai parti yang meraih majoriti mutlak di Parlimen.

Dasar populis Thaksin memikat pengundi luar bandar, namun turut mencetus kemarahan golongan pro-istana dan pro-tentera yang melihatnya sebagai ancaman kepada susun atur tradisi negara.

Kerajaan beliau digulingkan dalam rampasan kuasa 2006, namun pengaruh keluarga Shinawatra terus mencengkam politik Thailand, bertembung dengan elit konservatif Bangkok hingga ke hari ini.

Adiknya, Yingluck Shinawatra, menjadi perdana menteri wanita pertama Thailand pada 2011 namun turut ditumbangkan oleh tentera tiga tahun kemudian.

Thaksin menggunakan kepakaran perniagaan untuk menubuhkan parti Thai Rak Thai, dengan berjanji membawa kemakmuran ke kawasan luar bandar.

Selepas berjaya menamatkan penggal penuh pertama sebagai perdana menteri, beliau menang besar dalam pilihan raya 2005, disokong rakyat desa yang terkesan akibat krisis kewangan Asia.

Seorang wanita memegang plakad memaparkan Paetongtarn semasa kempen Parti Pheu Thai di Stadium Thunder Dome, Nonthaburi pada 5 April 2023. AFP
Seorang wanita memegang plakad memaparkan Paetongtarn semasa kempen Parti Pheu Thai di Stadium Thunder Dome, Nonthaburi pada 5 April 2023. AFP

Artikel Berkaitan:

Namun tuduhan rasuah serta siri protes berpanjangan menghambat kerjayanya.

Ketika berada di luar negara pada September 2006, tentera melancarkan rampasan kuasa dan menjatuhkan kerajaannya.

Walaupun asetnya dibekukan, Thaksin membeli kelab bola sepak Manchester City pada 2007 dan kemudian menjualnya dengan keuntungan besar.

Beliau mula hidup dalam buangan pada 2008 tetapi kekal berpengaruh dalam politik negara atau seperti yang didakwa pengkritiknya, terus “campur tangan dari jauh”.

Politik keluarga

Selepas Thai Rak Thai dibubarkan, parti penggantinya, Parti People's Power telah menang pilihan raya dan adik iparnya, Somchai Wongsawat, menjadi perdana menteri buat sementara.

Namun, mahkamah kembali membubarkan parti tersebut pada 2008.

Parti itu kemudiannya digantikan oleh Pheu Thai, yang membawa Yingluck ke tampuk kuasa pada 2011.

Yingluck dilihat ramai sebagai boneka Thaksin, malah beliau pernah dipanggil "klon" oleh abangnya sendiri.

Beliau cuba mendekati tentera, namun hubungan rapuh itu musnah selepas cubaan memperkenalkan rang undang-undang pengampunan yang membolehkan Thaksin kembali, mencetus kemarahan pembangkang dan protes jalanan yang berlarutan selama berbulan-bulan.

Puluhan terbunuh, ratusan cedera. Yingluck akhirnya disingkirkan melalui keputusan mahkamah pada 2014 sebelum tentera mengambil alih sepenuhnya pentadbiran negara.

Thaksin kemudiannya menyokong anak bongsunya, Paetongtarn Shinawatra, untuk mengambil alih tampuk kepimpinan dalam Pheu Thai selepas berhenti dari kerjaya dalam sektor hotel milik keluarga.

Walaupun sedang hamil ketika kempen pilihan raya 2023, Paetongtarn giat berkempen dalam keadaan cuaca panas tropika.

Pheu Thai menamatkan pilihan raya di tempat kedua, namun berjaya membentuk kerajaan dengan menyertai gabungan bersama parti-parti pro-tentera, dan Paetongtarn dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos tahun lalu.

Seperti Yingluck, beliau turut dituduh hanya menjadi boneka Thaksin.

Pada Selasa, Mahkamah Perlembagaan menggantung tugas Paetongtarn sementara siasatan dijalankan berhubung pertikaian diplomatik dengan Kemboja.

Penganalisis politik Thailand, Thitinan Pongsudhirak berkata masa depan keluarga Shinawatra kini semakin kabur.

“Keluarga Shinawatra telah dilemahkan secara sistematik sehingga daya tarikannya dalam politik Thai semakin pudar,” katanya. - AFP

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!