Perluas kerjasama, perkukuh komunikasi awam

PUTRAJAYA - Kerjasama antara kerajaan dan media perlu diperkukuhkan dengan lebih erat bagi memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat berlaku secara lebih efisien, telus dan bertanggungjawab.
Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah berkata, penyelarasan komunikasi antara agensi perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan rakyat menerima maklumat tepat serta sahih pada waktunya.
Menurutnya, dalam era maklumat bergerak pantas, sebarang kelewatan atau ketidaktepatan boleh membuka ruang kepada penyebaran berita palsu, khususnya menerusi platform media sosial.
“Kadang-kadang apabila berlaku sesuatu kejadian, maklumat rasmi lambat disalurkan. Apabila sampai pula, ada percanggahan antara satu kementerian dengan kementerian lain, antara jabatan-jabatan.
"Contohnya seperti insiden kebakaran di Putra Heights tempoh hari, maklumat tidak dapat diperoleh dengan segera. Selepas beberapa hari barulah gambaran lebih jelas diperoleh dan laporan rasmi dikeluarkan,” katanya ketika berkongsi pandangan dalam sesi meja bulat di The National Resilience College, di sini pada Rabu.

Program yang turut dihadiri Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng, mengangkat topik: Pendekatan Keseluruhan Masyarakat terhadap Keselamatan Negara: Memperkukuh Peranan Media dalam Memajukan Komunikasi Strategik, Kepercayaan Awam dan Daya Tahan Masyarakat.
Beliau berpandangan, kelewatan maklumat seperti itu memberi ruang kepada media sosial untuk menjadi sumber utama rujukan, walaupun kandungan yang disebarkan tidak tepat.
Katanya, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut menambah cabaran kerana sesetengah kandungan yang disebarkan sukar untuk dipastikan kesahihannya.
Jelas Muhamad Nasir, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah menubuhkan pusat komunikasi media yang lebih strategik dan bersepadu bagi menyelaras serta menyalurkan maklumat kepada media dan orang ramai secara seragam dan pantas.
“Kita perlukan satu pejabat perhubungan media yang berperanan menyelaras kenyataan daripada pelbagai agensi sebelum disampaikan kepada wartawan dan rakyat.
“Sekiranya maklumat lambat atau tidak selaras, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan pelbagai spekulasi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kementerian dan agensi kerajaan melantik individu yang berpengalaman dalam bidang media untuk menguruskan hal ehwal komunikasi dengan lebih berkesan.
“Sekiranya pegawai yang dilantik tidak mempunyai latar belakang dalam media, ia akan menyukarkan proses komunikasi sedangkan media adalah instrumen penting, bukan hanya untuk kerajaan, tetapi juga demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Justeru itu, katanya, semua pihak perlu memainkan peranan secara bersama dalam usaha membina dan memelihara kepercayaan rakyat terhadap maklumat yang disampaikan.
“Kerajaan perlu memastikan infrastruktur komunikasi awam sentiasa ditambah baik. Sekiranya itu tidak berlaku dan rakyat terus bergantung kepada media sosial sebagai sumber utama, maka ia adalah satu petanda yang perlu diberi perhatian serius.
“Kepercayaan rakyat hanya dapat dibina melalui penyampaian maklumat yang tepat, pantas dan bertanggungjawab,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

