Kelantan serah kepada Pusat tentukan pengganti Nik Nazmi

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Pusat untuk melantik pengganti Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan selepas Ahli Parlimen Setiawangsa itu melepaskan jawatan sebagai menteri sebelum ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bagaimanapun beliau berharap kerajaan Pusat turut mengambil pandangan kerajaan negeri dalam pelantikan pengganti untuk jawatan tersebut.
"Saya tidak boleh ulas panjang, cuma serahkan kepada Pusat. Besar harapan agar pandangan kerajaan negeri dapat diambil kira dalam pelantikan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim pada Rabu.
Media pada Selasa melaporkan biarpun ada saranan yang memintanya untuk tidak meneruskan hasrat meletak jawatan, Nik Nazmi dikhabarkan kekal dengan pendiriannya untuk melepaskan tugas sebagai anggota Kabinet.
Perkembangan itu hadir selepas beliau hari ini berkongsi di Instagram, dilihat menyampaikan ucapan pada satu majlis perpisahan, difahamkan berlangsung di kementeriannya di Putrajaya.
Untuk rekod, peletakan jawatan Nik Nazmi itu akan berkuat kuasa Jumaat ini, yang mana ketika ini beliau masih dalam tempoh cuti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

