Ahmad Faizal angkat sumpah MB Perak ke-13

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu -foto Bernama
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu -foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-13.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah di Istana Iskandariah pada jam 3.45 petang di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham selain pimpinan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada Pengerusi UMNO, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas, Razman Zakaria.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri mewakili gabungan parti itu turut hadir.

Pelantikan Ahmad Faizal, 50, adalah susulan pembentukan kerajaan baharu menerusi gabungan Perikatan Nasional terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu yang memperoleh sokongan 32 daripada keseluruhan 59 ADUN.

Perikatan Nasional membentuk kerajaan di Perak dengan 25 kerusi UMNO, Pas (3) dan Bersatu (4).

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ke-12 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan di Perak pada 2018 lalu.

Artikel Berkaitan: