Petani dijel 45 tahun, 15 sebatan rogol anak kandung lembam

KENINGAU - Seorang petani dijatuhkan hukuman penjara selama 45 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah kerana merogol anak kandungnya yang juga remaja perempuan lembam.
Tertuduh berusia 40 tahun membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Mohd Puji.
Mengikut pertuduhan pertama, kira-kira jam 5 petang pada Jun 2023, tertuduh merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 13 tahun di tepi kebun getah di sebuah kampung di Tambunan.
Pertuduhan kedua menyatakan, pada bulan sama, tertuduh turut melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah rumah di kampung lain dalam daerah sama.
Bagi pertuduhan ketiga, kira-kira jam 5.30 petang pada 21 Ogos 2024, tertuduh sekali lagi merogol mangsa di bilik sebuah rumah di kampung sama.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ling Guong Zhin, manakala tertuduh diwakili peguam, Timothy Daut.
Dalam prosiding tersebut, Guong Zhin memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Bagaimanapun, tertuduh merayu agar hukuman diringankan kerana telah menyesal dengan perbuatan yang dilakukan, manakala Timothy turut membuat rayuan kerana tertuduh memahami kesalahannya, telah bertaubat selain menekankan bahawa tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan bersedia serta sanggup untuk melalui proses pemulihan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan lima sebatan bagi setiap pertuduhan dan semua hukuman diperintahkan berjalan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan 45 tahun penjara dan 15 sebatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, tangkapan terhadap tertuduh dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada Klinik Kesihatan Tambunan yang mendakwa mangsa telah dirogol berulang kali.
“Mangsa merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan tinggal bersama suspek selepas ibu bapanya bercerai. Mangsa juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) yang dikategorikan sebagai lembam dari segi pemikiran.
“Pada 30 Jun lalu, tertuduh mengaku bersalah di hadapan hakim atas pertuduhan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
