Siasatan kehilangan Pamela masih aktif, polis guna pelbagai kaedah

KUALA LUMPUR – Seramai 48 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut.
"Kita telah membuat fotofit, namun setakat ini kita tidak dapat padanan, hanya 40 peratus.
"Kita telah merakam keterangan 48 saksi bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Mohamed Usuf berkata, setiap siasatan mempunyai cabaran tersendiri dan polis sedang berusaha mendapatkan bukti di lokasi kejadian serta petunjuk lain.
"Kita menggunakan pelbagai cara termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan," katanya.
Pamela, 42, dilaporkan hilang pada 9 April lalu ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kenderaan e-hailing. Laporan polis diterima pada jam 3.02 petang hari sama.
Polis sebelum ini mengesahkan siasatan merangkumi semakan terhadap lokasi terakhir wanita itu, termasuk pemeriksaan rakaman CCTV dan maklumat perkhidmatan e-hailing yang digunakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
