Mahkamah tolak permohonan SPRM lucut hak Jakel Trading

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM10,747,042.77 didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita daripada Jakel Trading Sdn Bhd.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas berpuas hati bayaran yang diterima oleh Jakel Trading selaku responden adalah dalam transaksi urus niaga biasa syarikat itu.

“Dalam kes ini apa yang perlu ditentukan oleh mahkamah ialah sama ada harta yang disita RM10,747,042.77 adalah hasil daripada aktiviti haram.

“Bayaran yang diterima oleh responden adalah bayaran bagi barangan yang dibekalkan dan responden tidak seharusnya dipersalahkan serta dihukum kerana menerima bayaran bagi barangan yang dibekalkannya.

“Atas imbangan kebarangkalian pemohon telah gagal membuktikan harta tersebut adalah hasil daripada aktiviti haram,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh selaku pemohon kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dan justeru memohon untuk satu penggantungan pelaksanaan perintah terhadap keputusan itu.

Hakim Muhammad Jamil memerintahkan pihak pemohon untuk memfailkan permohonan tersebut dalam masa tujuh hari bermula tarikh hari ini.

Dalam prosiding itu, Jakel Trading diwakili peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman.- Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Jakel tidak pernah terlibat skim pengubahan wang haram