Suami isteri didakwa palsukan dokumen tuntut insurans

Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan memalsukan dokumen yang kononnya dikeluarkan sebuah pusat pakar mata bagi menuntut insurans - Gambar hiasan
Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan memalsukan dokumen yang kononnya dikeluarkan sebuah pusat pakar mata bagi menuntut insurans - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan memalsukan dokumen yang kononnya dikeluarkan sebuah pusat pakar mata bagi menuntut insurans.

Pengurus operasi sebuah syarikat swasta, M Prabagaran, 42, dan isterinya B Parimala, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, mereka masing-masing didakwa memalsukan resit, invois dan 'hospitalisation claim form' yang kononnya dikeluarkan sebuah pusat pakar mata dengan menggunakan dokumen itu dalam sistem sebuah syarikat insurans bagi tujuan tuntutan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat insurans terbabit di Jalan Ampang di sini, antara 18 November 2020 hingga 25 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Shakira Aliana Alias memohon Prabagaran diikat jamin RM10,000 sementara isterinya RM15,000.

"Ia termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Selvaakumaran Subramaniam yang mewakili pasangan itu merayu kadar jaminan dikurangkan kerana kedua-dua tertuduh mempunyai seorang anak berumur tiga tahun serta ibu bapa yang uzur.

"Mereka memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan terbabit, Hakim Azrul membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 20 Ogos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!