SST Sarawak: Mahkamah Tinggi tolak permohonan Petronas

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk semakan kehakiman bagi mengisytiharkan Cukai Jualan Negeri (SST) yang dikenakan oleh kerajaan Sarawak sebagai batal dan tidak sah.

Hakim Azhahari Kamal Ramli turut mengarahkan kos sebanyak RM50,000 dibayar kepada responden, iaitu Pengawal Cukai Jualan Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Dalam penghakimannya, Azhahari Kamal berkata, tidak ada alasan bagi mahkamah untuk membuat pengisytiharan tersebut memandangkan Perkara 95B(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Badan Perundangan Sabah dan Sarawak juga boleh membuat undang-undang bagi mengenakan cukai jualan, dan apa-apa cukai jualan yang dikenakan di kedua-dua negeri hendaklah disifatkan sebagai antara perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri dan bukan dalam Senarai Persekutuan.

Beliau berkata, memandangkan Perkara 95B (3) Perlembagaan menyatakan bahawa sebarang cukai jualan yang dikenakan oleh undang-undang negeri dianggap antara perkara-perkara yang disebutkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat dibawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

"Berdasarkan sebab-sebab di atas, tidak ada merit dalam permohonan untuk perisytiharan berkenaan," katanya.

Mahkamah mendengar hujah pihak-pihak yang terlibat pada 3 dan 4 Januari lepas.

Petronas sebagai pemohon diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Alvin Chong manakala responden diwakili Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Seri J C Fong dan Peguam Besar Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Permohonan itu, antara lain, untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa Perintah Cukai Jualan Negeri (Barang Boleh Dicukai dan Kadar Cukai) (Pindaan) (No 2) 2018, Seksyen 2, 7, 8, 11 (1), 12 (1), 12 (6), 12 (7) dan 15 (d) Ordinan Cukai Jualan Sarawak 1998 dan Peraturan 19 C, Peraturan-Peraturan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998 adalah ultra vires kepada Perlembagaan Persekutuan serta batal dan tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Semasa ditemui pemberita kemudiannya, Malik Imtiaz berkata, beliau akan menunggu arahan selanjutnya daripada anak guamnya sama ada untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan itu atau sebaliknya.

"Kami akan mengkaji alasan penghakiman sebelum berbincang dengan lebih lanjut (mengenai tindakan seterusnya) dengan anak guam kami (Petronas) mengenai perkara itu," katanya.

Sementara itu, Fong berkata, beliau berharap keputusan mahkamah tersebut akan diterima Petronas dan syarikat itu tidak akan meneruskan rayuan terhadap penghakiman berkenaan.

"Dan (Saya harap) Petronas, Petros (syarikat minyak dan gas milik negeri) dan Kerajaan Negeri akan bekerjasama untuk membantu industri minyak dan gas, yang kini sedang menghadapi masa yang mencabar kerana harga minyak dan permintaan dunia yang rendah," katanya. - Bernama