'Setiap sen disalur amanah daripada rakyat' - Aminuddin

SEREMBAN - Pengerusi dan seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diingatkan supaya berintegriti dalam pengurusan dana kerajaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa setiap sen yang disalurkan melalui apa jua peruntukan merupakan amanah daripada rakyat.
Menurutnya, segala bentuk penyelewengan, penyalahgunaan atau kelewatan dalam pelaksanaan akan menjejaskan imej kerajaan serta mencemarkan kepercayaan rakyat.
“Pastikan setiap laporan kewangan, dokumentasi dan pelaksanaan projek dibuat secara telus dan berakauntabiliti tinggi.
“Dana Inisiatif Sejati Madani perlu diurus secara bertanggungjawab, telus dan berkesan.
“Ini bukan sekadar peruntukan kewangan, tetapi lambang kepercayaan kerajaan kepada JPKK,” katanya dalam Amanat Bersama Kepimpinan JPKK Negeri Sembilan 2025 di Klana Resort di sini pada Selasa.
Ujar beliau, JPKK perlu memastikan tiada ruang untuk salah guna, ketirisan atau pembaziran.
“Setiap projek perlu dirancang secara strategik, menyeluruh dan memberi impak sebenar kepada komuniti.
“Laporan penggunaan dana perlu dikemukakan secara berkala dan telus kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Selain itu, beliau turut meminta pemimpin akar umbi agar lebih proaktif, sentiasa peka dan cepat bertindak terhadap sebarang isu rakyat.
“Jangan tunggu aduan dibuat baru hendak bertindak, tetapi jadilah pemimpin yang hadir terlebih dahulu di medan.
“Kenal pasti golongan yang memerlukan bantuan, fahami masalah di kampung dan pastikan saluran penyelesaian dicapai melalui kerjasama dengan pihak pejabat daerah, agensi teknikal dan wakil rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri dan Persekutuan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk rakyat, namun kejayaan sesuatu dasar tidak diukur kepada perancangan semata-mata, tetapi sejauh mana ia memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Justeru, katanya, JPKK merupakan ejen penting dalam memastikan segala bentuk bantuan dan insentif kerajaan sampai ke tangan rakyat.
Jelasnya, dasar kerajaan bukan sahaja perlu disampaikan, tetapi difahamkan dan dimanfaatkan sebaiknya dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


