Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 didakwa bebankan pesawah kecil - PeSAWAH

ALOR SETAR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah keras cadangan kerajaan untuk meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang dijangka dibentangkan di Parlimen hujung Julai ini.
Menurut Pengerusinya, Abdul Rashid Yob, pindaan tersebut yang bertujuan membolehkan Malaysia menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 1991 (UPOV 91) akan memberi kesan buruk kepada puluhan ribu pesawah kecil di seluruh negara.
Katanya, pindaan itu didakwa akan menghapuskan hak tradisi pesawah untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih padi hasil tuaian mereka sendiri.
“Di bawah pindaan ini, hak pembiak baka korporat akan diperluas secara melampau, manakala hak petani untuk bebas mengguna, berkongsi dan menjual benih daripada hasil tuaian mereka sendiri akan dihapuskan.
“Amalan menyimpan benih untuk kegunaan musim berikutnya, berkongsi dengan jiran, atau menjualnya secara kecil-kecilan yang merupakan tulang belakang kepada kelestarian ekonomi dan sosial komuniti pesawah akan dianggap sebagai satu kesalahan di bawah pindaan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau mendakwa, jika pindaan ini diluluskan, pesawah akan dipaksa membeli benih berdaftar daripada syarikat pembiak baka setiap musim, sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada syarikat besar dan menyebabkan harga benih melonjak naik.
“Apabila monopoli dibenarkan, syarikat bebas menetapkan harga sesuka hati. Ini akan menambah beban kos sara hidup pesawah yang sedia terhimpit,” ujar Abdul Rashid.
Menurut beliau, di Kedah sahaja, hampir 30 peratus pesawah masih mengamalkan penyimpanan dan penggunaan semula benih padi setiap musim.
“PeSAWAH turut menegaskan bahawa pesawah tempatan mempunyai kepakaran memilih benih terbaik yang sesuai dengan tanah dan iklim setempat, berbanding benih komersial yang mungkin tidak serasi.
“Kami bukan menolak kemajuan, tetapi jangan sampai hak dan warisan petani diketepikan demi keuntungan korporat,” tegasnya.
Sehubungan itu, Abdul Rashid berkata, PeSAWAH menggesa agar semua ahli Parlimen menolak rang undang-undang tersebut demi menjaga kelangsungan hidup pesawah dan masa depan pertanian negara.
"Jangan biarkan amalan turun-temurun yang menjadi tulang belakang komuniti pesawah dihapuskan sekelip mata," ujarnya.
Pada Sabtu lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 akan dilaksanakan bagi memastikan perlindungan yang lebih komprehensif terhadap varieti tumbuhan baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

