Skandal rasuah ADUN Sabah: Isyarat ketelusan, akauntabiliti tidak boleh dikompromi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BARU-BARU ini, negara menyaksikan perkembangan kes melibatkan dakwaan skandal rasuah melibatkan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah di Mahkamah Rasuah Khas, Kota Kinabalu pada Isnin.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy serta Datuk Tei Jiann Cheing atau dikenali sebagai Albert Tei membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Menurut pertuduhan, Yusof, 69, pada jam 2 petang 6 Mac 2023, di sebuah restoran hotel telah menerima suapan wang tunai sebanyak RM200,000 daripada tertuduh, Jiann Cheing, 37.

Wang tersebut sebagai dorongan untuknya membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat bagi mendapatkan lesen untuk mencari gali mineral di Sabah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Kes ini memberi kesan besar kepada landskap politik dan integriti pentadbiran negeri Sabah, khususnya dalam sektor perlombongan yang bernilai tinggi tetapi berisiko disalah guna.

Pendedahan mengenai skandal berkenaan boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap wakil rakyat dan institusi kerajaan.

Apabila individu berprofil tinggi seperti ADUN didakwa atas tuduhan rasuah, ia menimbulkan persoalan sama ada proses kelulusan lesen perlombongan selama ini benar-benar telus dan berpandukan peraturan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai mungkin mempersoalkan bagaimana syarikat-syarikat swasta memperoleh keistimewaan dalam sektor yang melibatkan sumber asli negeri.

Ini mencetuskan persepsi negatif bahawa wujud campur tangan politik atau salah guna kuasa bagi mengaut keuntungan peribadi.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mempertingkatkan pemantauan dan siasatan terhadap proses kelulusan lesen, terutama melibatkan individu berkepentingan.

Selain itu, kerajaan negeri pula dijangka berdepan tekanan untuk menyemak semula dasar berkaitan perlombongan, mungkin dengan memperketatkan syarat kelulusan lesen atau mewujudkan satu sistem pemantauan yang lebih telus.

Secara keseluruhannya, kes ini bukan sekadar ujian terhadap tiga individu yang dituduh, tetapi menjadi ukuran sejauh mana keseriusan negara dalam membanteras rasuah secara menyeluruh.

Kesannya bukan sahaja kepada reputasi peribadi, malah memberi isyarat kepada seluruh sistem politik dan pentadbiran bahawa aspek ketelusan serta akauntabiliti tidak boleh dikompromi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!