X

Kindly register in order to view this article
!

Aksem rampas cecair vape bernilai RM357,000

Rodzi (dua dari kiri) menunjukkan cecair vape yang dirampas.
A
A

PADANG BESAR - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis semalam merampas 10,200 botol cecair vape bernilai RM357,000 di Kilometer 24 Jalan Ulu Pauh menghala ke Padang Besar.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis, Deputi Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, anggota Aksem menahan sebuah lori pada jam 11.45 pagi selepas melihat pemandu berusia 20 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemandu warga tempatan itu pada mulanya memaklumkan dia membawa produk gel rambut.

"Curiga dengan jawapan lisan yang diberikan, anggota terbabit memeriksa bahagian lori berkenaan dan menjumpai cecair vape," katanya pada sidang media di Aksem Chuping hari ini.

Menurut Rodzi, suspek yang memandu seorang diri dipercayai dari arah Gombak dan mengambil upah membawa barang berkenaan ke negara jiran.

"Ini adalah rampasan kedua melibatkan cecair vape pada tahun ini dan kes akan disiasat bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952," katanya.

Tambah Rodzi, suspek telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk siasatan lanjut.

"Jika sabit kesalahan hukuman maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun akan dikenakan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!