Lima tahanan mengaku salah lari dari lokap

KOTA BHARU - Lima tahanan kes dadah pada Isnin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melarikan diri dari lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas, 22 Jun lalu.
Kesemua mereka turut didakwa atas pertuduhan memecah masuk rumah penduduk pada hari yang sama.
Tertuduh, Mohd Safiuddin Hanif Mohd Shargawi, 38, Muhamad Norshamzee Mohd Noresan, 32, Mohamad Akmal Mohd Zahari, 31, Mohd Haris Zakaria, 37, dan Muhammad Alif Izham Hussim, 23, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima tahanan berkenaan didakwa melarikan diri daripada tahanan sah mengikut undang-undang di lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada jam 10.20 malam.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan pecah rumah, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama kira-kira jam 10.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Kubang Bongol, Lemal dengan niat untuk mencuri sebuah telefon bimbit jenis Oppo milik seorang wanita berusia 46 tahun.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, tertuduh pertama, Mohd Safiuddin Hanif juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas dengan cara memaut lehernya.
Lelaki itu yang sepatutnya dituduh atas pertuduhan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran di Mahkamah Sesyen Pasir Mas itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas kira-kira pukul 10.20 pagi pada 22 Jun lalu.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Amira Mat.
Pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan berikutan Mohd Safiuddin Hanif, Muhamad Norshamzee, Mohd Haris dan Muhammad Alif Izham menghadapi pertuduhan kes dadah di Mahkamah Pasir Mas manakala Mohamad Akmal mempunyai rekod lampau lari dari tahanan.
Mahkamah kemudian menetapkan kesemua tertudun tidak dibenarkan ikat jamin dan 13 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
