Bot terbalik: Nenek hampir pengsan dapat berita cucu maut

Mayat Vennpani (gambar kecil) tiba di rumah keluarga dekat SP Heights di Sungai Petani kira-kira jam 1 pagi Isnin dan dibawa ke tempat pembakaran di Kampung Serukam lebih kurang 12.30 tengah hari.
Mayat Vennpani (gambar kecil) tiba di rumah keluarga dekat SP Heights di Sungai Petani kira-kira jam 1 pagi Isnin dan dibawa ke tempat pembakaran di Kampung Serukam lebih kurang 12.30 tengah hari.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Nenek kepada kanak-kanak yang terkorban dalam insiden bot terbalik semasa bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu, terkejut dan hampir pengsan ketika menerima berita terbabit.

T Panjawarnam, 68, berkata, dia hanya mengetahui berita kematian cucu, V Vennpani, 10, setelah menerima panggilan daripada salah seorang mangsa terselamat, lebih kurang jam 1 pagi hari kejadian.

Dalam kejadian itu, ibu bapa mangsa yang juga anaknya, K Kalini, 39, dan menantu, M Vijeya Raj, 40, terselamat.

"Saya terkejut dan hampir pengsan ketika dimaklumkan cucu terkorban dalam insiden itu.

"Saya teramat sedih... sukar untuk terima dan melupakan semua kenangan bersama kerana saya yang menjaganya sejak lahir," katanya.

Menurutnya, mangsa merupakan anak tunggal dan kelahirannya sangat dinantikan keluarga.

"Lama kami tunggu kelahirannya tapi tak sangka hanya dalam sekelip mata dia sudah meninggalkan kami.

"Dia memang beria-ia mahu ikut ibu bapanya bercuti bersama tiga lagi keluarga dan mereka bertolak pada pagi Jumaat," katanya.

Menurut Panjawarnam, mangsa merupakan seorang yang sangat mendengar kata, mudah dijaga, sentiasa ceria dan disayangi semua.

Artikel Berkaitan:

Mayat Vennpani tiba di rumah keluarga dekat SP Heights di sini kira-kira jam 1 pagi Isnin dan dibawa ke tempat pembakaran di Kampung Serukam lebih kurang 12.30 tengah hari.

Lebih 300 kenalan dan ahli keluarga hadir memberikan perghormatan terakhir kepada mendiang sebelum dibawa ke tempat pembakaran.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebuah bot terbalik dalam kejadian 10.30 malam di Pulau Perhentian pada Sabtu menyebabkan tiga maut.

Dua lagi mangsa yang maut ialah Arumugam Sativelo, 40, dan anaknya, Sarrvihka Arumugam, 3.

Bot berkenaan dikatakan membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun dilaporkan karam selepas dipukul ombak besar dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!