Lelaki maut motosikal rempuh bas sedang berhenti

KULAI - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah bas yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 18.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan tersebut pada jam 1.50 petang dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah bas yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia 38 tahun berhenti di lorong kecemasan dipercayai akibat masalah enjin.
“Kemudian, datang sebuah motosikal yang ditunggang oleh lelaki tempatan berusia 21 tahun dari arah belakang.
"Mangsa dipercayai tidak menyedari bas tersebut sedang berhenti menyebabkan dia terlanggar bahagian belakang kenderaan itu.
"Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal terbabit cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
