Lelaki maut, motosikal gagal potong kereta

Keadaan motosikal dinaiki mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Gong Nering, Besut, petang Khamis.
Keadaan motosikal dinaiki mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Gong Nering, Besut, petang Khamis.
A
A
A

BESUT - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan dalam kejadian di Kampung Gong Nering di sini, petang Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 petang ketika mangsa, Ayub Zamri, 22, dalam perjalanan dari Kuala Krai, Kelantan ke Penarik, Setiu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong sebuah kereta di hadapannya sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Alza berwarna merah yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan sebelum motosikalnya menggelongsor dan melanggar sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki,” katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu dan seorang penumpang Honda City tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Gong Nering, Besut, petang Khamis.
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Gong Nering, Besut, petang Khamis.

Jelasnya, sebuah Perodua Alza turut terlibat dalam kemalangan itu masih tidak dapat dikenal pasti kerana telah beredar dari tempat kejadian.

"Setakat ini tidak ada pemandu atau pemilik Perodua Alza terbabit tampil untuk membuat laporan di mana-mana balai polis. Usaha untuk mengesan kenderaan tersebut sedang dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, saksi kejadian diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Shafiqqul Aliff Mohamad Sobri di talian 01110929400 atau hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

Ujarnya lagi, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memotong kenderaan dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak kemalangan maut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!