Penunggang maut, motosikal terbabas di selekoh rempuh lori

JEMPOL – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas sebelum melanggar sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 37, Jalan Bahau–Kemayan, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.10 petang dan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda FS150 serta sebuah lori jenis Nissan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun dalam perjalanan dari arah Kemayan menuju ke Bahau.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa berusia 26 tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh.
“Motosikal itu kemudian memasuki laluan lori dan melanggar bahagian sisi tayar belakang sebelah kanan kenderaan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-234 8669.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

