Mohammad Bagheri 'otak strategi' ketenteraan Iran

TEHERAN - Ketika perang tercetus bersama Israel pada April 2024, Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri pernah memberi amaran tegas kepada seteru mereka itu.
"Respons kami akan menjadi lebih agresif berbanding operasi ketenteraan pada malam ini, jika rejim Tel Aviv tetap berdegil mahu bertindak balas.
"Kempen pengeboman kami sudah tamat dan Teheran tidak berhasrat untuk meneruskan lagi serangan," tegasnya pada masa itu yang turut memberi peringatan tentang sebarang cubaan campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang akan menyebabkan pangkalan mereka pula menjadi sasaran.
Kira-kira 14 bulan kemudian, pegawai tentera kedua tertinggi selepas Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei itu dilaporkan gugur syahid dalam serangan ganas dilancarkan Israel ke atas Teheran dan beberapa bandar serta kemudahan nuklear pada awal pagi 13 Jun lalu.
Pemergiannya disifatkan satu kehilangan besar memandangkan beliau memegang peranan utama dalam evolusi ketenteraan Iran.

Pemilik nama sebenar Mohammad Hossein Afshordi ini dilahirkan di Teheran pada 1960 dan keluarganya dikatakan berasal dari perkampungan Afshar di daerah Heris, wilayah Azerbaijan Timur.
Beliau menggalas tanggungjawab besar mengawasi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan angkatan tentera negara tersebut selain memastikan penyelarasan cabang berbeza dalam sistem pertahanan Iran.
Bagheri dikatakan mempunyai kerjaya ketenteraan yang cemerlang bersama IRGC, namun hanya sedikit maklumat yang diketahui tentang dirinya selain daripada rekod perkhidmatan, pencapaian akademik dan pelbagai sekatan dikenakan pelbagai badan antarabangsa.
"Kebanyakan pegawai risikan dan tentera berpangkat tinggi cenderung untuk lebih berahsia," kata Pengurus Program di Institute for War and Peace Reporting, Reza H Akbari.
Pegang 'peranan khas'
Bagheri menyertai IRGC pada 1980, setahun selepas Revolusi Iran dan Perang Iran-Iraq bermula yang menyaksikan konflik tersebut berlarutan selama lapan tahun dan menyebabkan ratusan ribu terkorban.
Ketika revolusi tercetus di Teheran, beliau berada di tahun akhir sekolah tinggi dan kemudiannya menyambung pengajian dalam program kejuruteraan mekanikal di Universiti Politeknik Teheran.
Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang geografi politik dari Tarbiat Modares University dan merupakan ahli fakulti di Universiti Pertahanan Tertinggi Nasional.

Menurut laporan media Iran, Bagheri mengetuai Operasi Risikan IRGC pada 1983 dan dilantik sebagai Ketua Hal Ehwal Bersama Angkatan Tentera.
Beliau kemudiannya memegang 'peranan khas' dalam operasi memerangi pasukan Kurdish di Iraq pada 1997.
Pada 2016, beliau dilantik untuk menggantikan Mejar Jeneral, Seyyed Hassan Firouzabadi sebagai Ketua Turus IRGC.
"Beliau bergabung dengan 'pasukan elit' dalam IRGC," menurut Akbari sambil menambah Bagheri ditugaskan untuk menjalankan misi paling sensitif terutamanya berkaitan unit tentera udara.
Pada 2019, Bagheri dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) setelah pentadbiran Presiden Donald Trump menyasarkan 'orang kepercayaan terdekat' Ali Khamenei.
Kesatuan Eropah (EU) juga mengenakan langkah sama selepas mendakwa Bagheri membekalkan dron kepada Rusia.
Tindakan sama dibuat Kanada dan Britain yang jelas bermotifkan politik selepas mengaitkannya dengan tindakan tegas ke atas peserta protes yang membantah kematian gadis berkaitan kontroversi tudung, Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis pada 2022.
Pada Sabtu, pengebumian negara telah diadakan buat 60 mangsa termasuk Bagheri yang gugur syahid ketika perang yang tercetus selama 12 hari bersama Israel.
Ribuan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk memberi penghormatan buat mereka sambil melaungkan slogan mengutuk AS, mengibarkan bendera kebangsaan dan membawa potret mereka yang terkorban.
Data dikeluarkan kementerian berkaitan di Teheran mengesahkan kempen pengeboman ganas Zionis meragut sekurang-kurangnya 627 nyawa orang awam. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

