Pemegang PhD juga terjebak najis dadah

LAPORAN terbaharu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mendedahkan satu trend membimbangkan — penyalahgunaan dadah kini tidak hanya tertumpu kepada golongan berpendidikan rendah, malah turut melibatkan mereka yang berkelulusan tinggi termasuk pemegang ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Dalam suku pertama tahun 2025, seramai 559 individu daripada kumpulan itu ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
Angka itu mewakili 0.5 peratus daripada keseluruhan tangkapan tetapi kesan simboliknya jauh lebih besar yang menunjukkan dadah telah meresapi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira tahap pendidikan.
Seramai 2,323 individu berkelulusan diploma turut terlibat, membuktikan intelektualisme atau pencapaian akademik bukan lagi benteng kukuh menentang gejala tersebut.
Statistik menunjukkan majoriti penagih datang daripada golongan muda berusia antara 19 hingga 40 tahun iaitu kelompok yang seharusnya menjadi tenaga penggerak negara.
Malah, seramai 65,264 orang atau 60.2 peratus daripada keseluruhan penagih dadah bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 berada dalam lingkungan umur tersebut.
Mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah jenis sintetik atau konvensional seperti heroin atau ganja.
Namun, AADK kini berdepan cabaran semakin kompleks dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah susulan kemunculan bahan psikoaktif baharu dan peningkatan ketara penggunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) dalam kalangan remaja serta belia.
Perkara itu menimbulkan persoalan serius mengenai tekanan sosial, ekonomi dan emosi yang dihadapi golongan belia hari ini sehingga sebahagiannya mencari jalan keluar melalui dadah.
Lebih menyedihkan, golongan pelajar juga mula menunjukkan peningkatan penglibatan dalam penagihan dadah.
Dalam tempoh sama, seramai 23 remaja berumur 14 tahun telah dikesan terlibat.
Ia menandakan usaha pencegahan perlu bermula lebih awal di peringkat sekolah rendah dan menengah, bukan hanya di institusi pengajian tinggi.
Kos rawatan dan pemulihan juga menjadi isu besar. AADK membelanjakan RM51 sehari bagi setiap pelatih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).
Dengan jumlah penagih yang tinggi, perbelanjaan negara dalam menangani isu itu semakin meningkat.
Ia jelas menunjukkan penyalahgunaan dadah bukan sahaja merupakan isu kesihatan atau keselamatan tetapi krisis sosial dan pendidikan.
Ia memerlukan pendekatan menyeluruh — merangkumi pendidikan awal, bimbingan kerjaya, sokongan emosi, penguatkuasaan undang-undang dan pemerkasaan komuniti.
Kerjasama strategik dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri, institusi pendidikan, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) akan terus dipertingkatkan.
Lebih penting, kita tidak boleh lagi melihat dadah sebagai isu ‘orang lain’ atau kelompok marginal.
Data membuktikan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa termasuk mereka yang mempunyai kelulusan tinggi.
Dalam konteks ini, peranan keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan masyarakat amat penting.
Ia bukan sekadar tugas AADK tetapi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.
Ancaman dadah dijangka menjadi lebih serius apabila kita mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental dan fizikal generasi pewaris ini.
Remaja yang terbabit dengan dadah terbukti terdedah kepada risiko kesihatan dan mental termasuk komplikasi kesihatan fizikal teruk, peningkatan kemalangan serta tekanan psikologi.
Bukan itu sahaja, Pelan Komunikasi Antidadah 2025-2027 bersifat menyeluruh dan bersasar yang diluluskan pada 19 Mei lalu membuktikan isu penyalahgunaan dadah kini berada pada tahap amat membimbangkan dan menjadi ancaman besar kepada keselamatan awam, kestabilan ekonomi serta struktur sosial negara.
* Juliana Rosdi ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
