Kedah teruskan solat Jumaat seperti biasa

Gambar kecil: Sheikh Fadzil
Gambar kecil: Sheikh Fadzil
A
A
A

ALOR SETAR - Solat Jumaat di seluruh negeri Kedah masih boleh diteruskan susulan wabak koronovirus (Covid-19) masih lagi terkawal di negeri ini.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang berkata, namun jemaah dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengambil wuduk di rumah.

Menurutnya, jemaah juga dinasihatkan agar membawa sejadah sendiri dan tidak bersalaman dengan orang ramai selain tidak berada dalam tempoh lama di masjid, termasuk tempat berhimpun.

“Imam solat Jumaat hendaklah memendekkan khutbah dan bacaan surah serta doa, imam juga digalakkan membaca doa memohon dihindari daripada wabak ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sheikh Fadzil berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan semasa Covid-19 dengan berpandukan sumber daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sekiranya penularan Covid-19 berada pada tahap lebih serius, kita akan mengeluarkan panduan hukum mengenai pelaksanaan syiar agama yang bersifat jemaah, seperti solat Jumaat, solat Tarawih, solat Hari Raya dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, sebarang perubahan akan dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah terlebih dahulu untuk mendapatkan perkenan sebelum diumumkan kepada orang ramai.

Sementara Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh meminta individu yang mempunyai simptom Covid-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana mereka tergolong dalam kategori orang sakit.

Artikel Berkaitan:

“Pihak masjid atau jemaah harus sediakan cecair pencuci tangan atau penutup mulut sebagai langkah pencegahan dan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya keadaan wabak Covid-19 merebak tanpa terkawal dengan ramai individu telah disahkan positif, solat Jumaat harus tidak dilakukan namun wajib digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

“Keputusan meninggalkan solat Jumaat perlu dikeluarkan oleh pihak berkuasa setelah mendapat nasihat KKM.

"Larangan tersebut termasuk sebarang bentuk aktiviti dan perhimpunan sama ada rasmi atau tidak rasmi di masjid atau surau,” katanya.