Seorang maut, dua cedera kereta terbabas bawah tebing

KUANTAN - Seorang lelaki maut manakala dua yang lain cedera selepas kereta dinaiki terbabas ke bawah tebing di Jalan Felda Jengka 23, Bandar Pusat Jengka pada Ahad.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki tiga lelaki itu dilaporkan pada jam 12.40 tengah hari.
Menurutnya, susulan maklumat diterima, enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.
"Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan bagaimanapun salah seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Zulfadli berkata, mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

