X

Kindly register in order to view this article
!

Ahmad Faizal dilantik semula Menteri Besar Perak

Ahmad Faizal
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMASKINI] Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor berkata, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, itu telah diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berpandukan Perkara XVI, Ayat 2 (a), Undang-Undang Tubuh Perak Darul Ridzuan,

"Timbangan baginda, Ahmad Faizal memperoleh kepercayaan sebahagian besar daripada ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah Menteri Besar Perak akan dilangsungkan pada jam 3. 30 petang ini di Istana Iskandariah di sini.

Pelantikan Ahmad Faizal, 50, adalah susulan pembentukan kerajaan baharu menerusi gabungan Perikatan Nasional terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu yang memperoleh sokongan 32 daripada keseluruhan 59 ADUN.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa bakal angkat sumpah MB Perak esok

Tujuh bekas Exco menghadap Sultan Perak

UMNO calonkan Saarani Menteri Besar Perak

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ke-12 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan di Perak pada 2018 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, selain memenangi DUN Chenderiang dengan majoriti 39 undi, beliau juga menang kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 undi.

Perikatan Nasional membentuk kerajaan di Perak dengan 25 kerusi UMNO, Pas (3) dan Bersatu (4).

Semalam, ketiga-tiga pemimpin parti Perikatan Nasional menghadap Sultan Nazrin bagi menyembah maklum calon Menteri Besar Perak daripada setiap parti komponen.

Bersatu menamakan Ahmad Faizal, UMNO Perak mencadangkan Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad manakala Pas menerusi Pesuruhjaya, Razman Zakaria.

Krisis pentadbiran di Perak berlaku apabila Bersatu yang diwakili dua ADUN keluar daripada PH menjadikan gabungan itu kehilangan majoriti bagi membentuk kerajaan.

Ketika ini, gabungan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam PH Perak mempunyai 24 kerusi selepas tiga ADUN umum keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!