Mangsa rogol dipaksa nikah, diceraikan sehari selepas bernikah

Mangsa mengalami trauma yang dahsyat. - Agensi
Mangsa mengalami trauma yang dahsyat. - Agensi
A
A
A

JAKARTA – Kes seorang pelajar berusia 19 tahun yang menjadi mangsa rogol oleh bapa saudaranya sendiri di Karawang, Jawa Barat, mencetuskan kemarahan masyarakat dan turut menerima desakan tegas daripada Ahli Parlimen Indonesia agar suspek dibawa ke muka pengadilan.

Mangsa, dikenali sebagai N, bukan sahaja diperkosa oleh lelaki yang juga guru mengajinya, tetapi turut dipaksa bernikah secara siri (nikah yang tidak didaftarkan) demi menjaga maruah keluarga, sebelum diceraikan hanya sehari selepas akad.

Insiden menyayat hati itu berlaku pada 9 April 2025 di daerah Majalaya, Karawang.

Menurut peguam mangsa, Gary Gagarin, kejadian berlaku ketika N sedang berada di rumah neneknya untuk sambutan Aidilfitri.

“Suspek datang konon mahu berziarah, kemudian mangsa pengsan dan apabila sedar semula, dia sudah berada di klinik. Ketika itu, kejadian rogol telah berlaku dan suspek ditangkap orang kampung selepas dilihat oleh nenek mangsa,” jelas Gary.

Lebih mengejutkan, pihak polis di Balai Polis Majalaya didakwa tidak merujuk kes tersebut ke Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA), sebaliknya cuba menyelesaikan isu itu secara kekeluargaan menerusi 'persetujuan damai'.

Naib Pengerusi Komisi III Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia, Sari Yuliati, mengecam pendekatan tersebut dan menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan seksual tidak seharusnya diselesaikan melalui rundingan damai.

“Perkahwinan bukanlah jalan penyelesaian yang tepat dalam kes keganasan seksual. Ini bercanggah dengan arahan Kapolri (Ketua Polis Negara Indonesia),” katanya kepada wartawan pada 28 Jun 2025.

Sari turut menyatakan rasa kesal terhadap tindakan pihak berkuasa yang didakwa mendesak mangsa bernikah dengan suspek, hanya untuk melihat perkahwinan itu dibubarkan keesokan harinya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menggesa Polis Karawang agar segera mengambil alih siasatan dan menjalankannya secara profesional mengikut arahan Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo.

“Kami menggesa suspek dikenakan hukuman sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” tambah beliau.

Menurut peguam Gary, suspek bernama J, masih bebas mengajar sebagai guru mengaji seperti biasa, manakala mangsa terus mengalami tekanan emosi dan trauma.

“Tidak masuk akal selepas berkahwin terus diceraikan keesokan harinya. Ini jelas bukan perkahwinan, tapi bentuk penghinaan dan penyambungan penderaan terhadap mangsa,” katanya.

Gary turut menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan sosial yang dikenakan kepada keluarga mangsa, termasuk usaha menyembunyikan kejadian itu atas alasan menjaga maruah kampung. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!