Bayi lelaki ditemui masih hidup dalam beg plastik

Penemuan bayi lelaki ini turut dikongsi dalam laman sosial Facebook Love Kuala Selangor.
Penemuan bayi lelaki ini turut dikongsi dalam laman sosial Facebook Love Kuala Selangor.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila diletakkan di dalam beg plastik dan ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Masjid Jamiul Huda, Kampung Api-Api, Bukit Rotan, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, penemuan bayi itu dimaklumkan oleh pihak Hospital Sungai Buloh kepada polis kira-kira jam 9.11 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Hasil siasatan awal mendapati bayi tersebut ditemui dalam keadaan cukup sifat dan matang, dengan berat 2.135 kilogram. Usianya dianggarkan sekitar seminggu dan tali pusat masih belum tanggal.

“Bayi itu kini dirawat di Hospital Tanjong Karang bagi tujuan pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Susulan kejadian itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Mazliah Azizi di talian 017-664 9100.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!