PBB desak Israel benar semula bantuan kemanusiaan penduduk Gaza

Antonio Guterres
Antonio Guterres
A
A
A

BAITULMAQDIS - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel untuk segera membenarkan bantuan disalurkan semula kepada penduduk Gaza selepas rejim Zionis itu menghentikan kemasukan bekalan penting ke wilayah berkenaan pada Ahad.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam satu kenyataan berkata, bantuan kemanusiaan perlu segera disalurkan kembali kepada penduduk Gaza bagi mengelakkan penderitaan lebih buruk selepas bertahun berdepan dengan peperangan.

“Semua pihak terlibat perlu kembali berdamai semasa tempoh gencatan senjata ini dan membebaskan semua tebusan,” katanya.

Sebelum ini, Israel dilaporkan telah menghentikan semua bantuan kemanusiaan selepas Hamas menolak cadangan baharu perjanjian gencatan senjata yang diusulkan oleh wakil Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff.

Hamas mengecam tindakan sekatan bantuan dan menyifatkan sebagai ‘jenayah perang’ dan ‘cubaan rampasan kuasa’ terhadap perjanjian gencatan senjata yang sedang berlangsung.

Sementara itu, Ketua Agensi Kemanusiaan PBB (Ocha), Thomas Fletcher turut menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Israel menghentikan bantuan ke Gaza yang boleh menyebabkan ribuan penduduk semakin terhimpit dengan kekurangan makanan, air bersih dan bekalan perbuatan.

“Keputusan ini amat membimbangkan dan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Keadaan ini juga menambah lagi tekanan terhadap usaha kemanusiaan di wilayah berkenaan yang kini berada di ambang krisis besar” katanya menerusi catatan di X.

Dalam pada itu, menerusi imej yang dirakam oleh AFP memaparkan barisan panjang trak yang sarat dengan barangan bantuan masih terhenti sebelah Mesir di persimpangan Rafah susulan pengumuman sekatan oleh Israel.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, masih tiada sebarang makluman bahawa Israel akan melonggarkan sekatan tersebut sekali gus meningkatkan risiko buruk di wilayah berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!