Buah import kena SST, buah tempatan pula tak semurah mana

Merak Jalanan sarankan supaya kerajaan selaraskan dasar. Kalau nak rakyat makan buah tempatan, kena pastikan harganya murah dan mampu dibeli. Gambar hiasan
Merak Jalanan sarankan supaya kerajaan selaraskan dasar. Kalau nak rakyat makan buah tempatan, kena pastikan harganya murah dan mampu dibeli. Gambar hiasan
A
A
A

RAMAI yang seronok apabila Perdana Menteri umum buah epal dan oren akan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Itu pun selepas teruk dikritik kerana dakwa buah avokado bukan makanan marhaen.

Merak Jalanan tak pelik. Ini bukan kali pertama kerajaan buat pusingan U bila rakyat bising. Elok juga rakyat bersuara.

Buah epal dan oren makanan biasa rakyat marhaen. Lawat orang sakit pun bawa buah oren dan buah epal atau anggur.

Kononnya dengan menjadikan buah-buahan import sedikit lebih mahal, kerajaan berharap pengguna lebih cenderung memilih buah tempatan.

Masalahnya, harga buah tempatan pun tidaklah semurah mana. Malah ada yang lebih mahal daripada buah import.

Isu ini memang ramai rakyat rasa pelik dan kadang-kadang geram. Boleh tersedak kalau tengok harga durian, jambu batu, nangka dan sebagainya.

Ada yang terliur nak merasa durian musang king atau mangga harumanis, tapi harganya boleh beli stok barang dapur selama sebulan.

Merak Jalanan sarankan supaya kerajaan selaraskan dasar. Kalau nak rakyat makan buah tempatan, kena pastikan harganya murah dan mampu dibeli.

Untuk pastikan harga murah, mungkin perlu subsidi pengangkutan atau insentif khas kepada petani buah.

Artikel Berkaitan:

Paling penting, kurangkan orang tengah. Bina model jualan terus dari ladang ke pengguna, pasar tani digital, koperasi petani dan sokongan logistik agro.

Pada masa yang sama, rakyat perlu dididik tentang kualiti dan manfaat buah tempatan yang mungkin lebih segar dan kurang racun.

Galakan makan buah tempatan adalah niat yang baik, tapi kalau harga tak masuk akal, ia jadi kontra-produktif.

Kerajaan perlu lebih realistik dan responsif — bukan sekadar beri nasihat, tapi bantu jadikan pilihan itu mampu dimiliki.

Cukup-cukuplah bermain dengan istilah 'gologan mahakaya' dan 'yang mampu'. Makin lama makin rasa mual mendengarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!