Kerjasama UPPM, Sabah Electricity pastikan bekalan elektrik sampai ke luar bandar, pedalaman-Hajiji

KOTA KINABALU - Satu jalinan kerjasama antara Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri (UPPM) dan Sabah Electricity dimeterai bagi meluaskan capaian bekalan elektrik di seluruh pelosok negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama itu selaras dengan peranan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Menurutnya, usaha tersebut akan melengkapkan inisiatif kerajaan Sabah dalam memastikan rakyat di negeri itu terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses bekalan elektrik.
"Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) selama setahun ini, Sabah Electricity dan UPPM akan bekerjasama dalam meningkatkan sambungan bekalan elektrik, khususnya di kawasan yang belum diliputi, sekali gus dan membangunkan infrastruktur tenaga mampan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai perkhidmatan dan fungsi Sabah Electricity, termasuk penggunaan tenaga yang efisien," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah di Menara Kinabalu, di sini pada Khamis.
Hajiji berkata, PPM turut memainkan peranan penting bagi memikul tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan.
Katanya, projek-projek di bawah kerjasama berkenaan juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
"Secara keseluruhannya, kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah ini akan menjadi titik fokus kepada semua perkara berkaitan perkhidmatan Sabah Electricity," ujarnya.
Sebelum itu, MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar bagi pihak Sabah Electricity, manakala UPPM Sabah diwakili pengarahnya, Datuk Awang Kadin Tang.
Hadir hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Peguam Besar negeri, Datuk Brenndon Keith Soh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
