Chile kenakan perintah berkurung susulan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara

BUENOS AIRES - Kerajaan Chile pada Selasa mengenakan perintah berkurung susulan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan hampir seluruh negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa perintah berkurung akan berkuat kuasa dari 10 malam hingga 6 pagi di kawasan dari utara Arica y Parinacota yang bersempadan dengan Peru dan Bolivia hingga ke Wilayah Los Lagos di selatan. Kawasan yang terjejas meliputi lebih 3,000 kilometer.
Akhbar La Tercera melaporkan bahawa kira-kira 98 peratus isi rumah terputus bekalan elektrik pada Selasa malam.
Presiden Lembaga Penyelarasan Elektrik Nasional Chile (CEN), Juan Carlos Olmedo berkata, setakat jam 10 malam (0100 GMT Rabu), 25 peratus perkhidmatan telah dipulihkan dan dijangka kembali sepenuhnya menjelang pagi, menurut akhbar itu.
"Kebimbangan utama kami adalah keselamatan rakyat," kata Menteri Dalam Negeri Carolina Tohá. "Kami tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan daripada gangguan bekalan elektrik untuk melakukan jenayah."
Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa 3,000 anggota tentera akan ditempatkan di jalan raya bagi memastikan keselamatan.
Gangguan bekalan elektrik itu berpunca daripada talian voltan tinggi di Wilayah Chico Norte yang terputus secara tiba-tiba, menurut pihak pengawal selia grid elektrik.
Keadaan itu menyebabkan talian lain ditutup, mencetuskan gangguan bekalan elektrik dalam skala besar. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
"Tidak ada sebab untuk mempercayai atau mengandaikan bahawa ia berpunca daripada serangan," kata Tohá.
Presiden Chile Gabriel Boric menyifatkan insiden itu sebagai "tidak boleh diterima" dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat yang gagal menangani situasi berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
