Kedah bangunkan ekonomi marin bersama Wilayah Fujian, China

ALOR SETAR – Kedah kini melangkah ke hadapan dalam pembangunan ekonomi marin menerusi kerjasama strategik bersama Wilayah Fujian dari China, melalui pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) pada Khamis.
Lawatan rasmi peringkat tinggi yang diketuai Timbalan Gabenor Fujian, Lin Ruiliang, dilihat sebagai pemangkin hubungan dua hala antara kedua-dua pihak, khususnya dalam sektor ekonomi biru yang merangkumi industri perikanan laut, pembangunan pelabuhan, bioteknologi marin dan tenaga boleh diperbaharui luar pesisir.
Exco Industri, Pelaburan dan Pengajian Tinggi Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, walaupun sektor pembuatan masih menjadi tunjang ekonomi negeri, potensi besar dalam ekonomi marin tidak boleh diketepikan.
“Sebanyak 3,000 ekar tanah di Kuala Kedah telah dikenal pasti untuk pembangunan ekonomi marin. Kita mengalu-alukan kerjasama pelabur asing dalam merealisasikan aspirasi ini,” katanya semasa berucap pada majlis menandatangani MoU di Raia Hotel & Convention Centre, di sini.
Turut hadir, Exco Pertanian dan Sekuriti Makanan Negeri, Dzowahir Ab Ghani serta Timbalan Datuk Bandar Zhangzhou, Zheng Limin.
Haim Hilman berkata lagi, Langkawi turut dikenal pasti sebagai lokasi utama bagi sektor akuakultur dan Kedah kini aktif menarik pelaburan marin dari China, khususnya dari Fujian.
Beliau turut mencadangkan hubungan wilayah berkembar antara Kedah dan Fujian bagi mengukuhkan kerjasama jangka panjang secara lebih tersusun.
“Kami berharap Kedah dapat muncul sebagai negeri peneraju dalam pembangunan ekonomi marin di Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, Lin turut menyambut baik cadangan tersebut dan memaklumkan bahawa ekonomi marin Fujian telah melepasi nilai RM735 bilion, menjadikannya antara wilayah paling maju di China dalam sektor berkenaan.
“Malaysia memiliki garis pantai yang panjang serta kedudukan strategik dalam jaringan pelabuhan global. Kerjasama ini mampu membawa manfaat bersama dalam pembangunan teknologi marin, infrastruktur hijau dan penyelidikan antara institusi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

