INWED 2025 angkat peranan wanita pacu transformasi kejuruteraan

PETALING JAYA – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menganjurkan forum International Women in Engineering Day (INWED) 2025 bagi mengangkat peranan wanita dalam bidang kejuruteraan.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, forum tersebut bertujuan untuk mengiktiraf peranan wanita dalam bidang kejuruteraan selain memberi inspirasi serta memperkasakan generasi muda untuk menceburi profesion yang lazimnya didominasi oleh golongan lelaki.
Menurutnya, selain menghargai sumbangan wanita, program itu turut menyediakan platform kepada jurutera muda dan pelajar kejuruteraan untuk membina rangkaian profesional bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman dengan tokoh-tokoh industri.
“Untuk menjadi pemimpin berwawasan dan membawa perubahan, kecekalan dan keyakinan diri adalah asas yang penting.

“Hadapi cabaran, berkembang dengannya dan pimpin dengan tujuan. Suara dan tindakan kita dapat memberi impak positif kepada industri.
“INWED 2025 juga memberi fokus kepada cabaran sebenar yang dihadapi oleh wanita dalam bidang kejuruteraan serta menyediakan panduan dan sumber praktikal untuk membantu mereka mengatasinya,” katanya dalam Forum INWED 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Persada PLUS, di sini pada Rabu.
Forum tahun ini mengangkat tema ‘Grit, Grace & Growth’ yang menumpukan kepada cabaran sebenar wanita dalam bidang kejuruteraan selain perkongsian strategi serta sokongan praktikal.
Forum tersebut turut mendapat sokongan daripada UEM Group Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, UEM Lestra Berhad, UEM Edgenta Berhad, Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA), dan UEM Sunrise Berhad.
Seramai 300 peserta menghadiri program tersebut yang terdiri daripada jurutera Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), CIDB, anak syarikat di bawah UEM Group, PLUS serta pelajar kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi tempatan.
Pengisian utama forum ialah dua sesi perbincangan yang menampilkan barisan panel wanita terkemuka dalam sektor kejuruteraan, antaranya Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal; Pengarah Urusan PLUS, Nik Airina Nik Jaffar; Penasihat Kanan The Lantau Group, Datuk Rosalina Zainal; dan Pengarah Bertanggungjawab Ganendra Ahmad & Associates Sdn Bhd, Datuk Ir Rosaline Ganendra.
Panel lain yang turut serta ialah Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan LLM, Ir Dr Nadzrol Fadzilah Ahmad; Profesor Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM, Profesor Ir Dr Zuhaina Zakaria; serta Pengarah Urusan Edgenta PROPEL Berhad, Raihana Ahmad.
Sementara itu, Zainora berkata, kepimpinan dalam bidang kejuruteraan bukan sahaja tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, malah ia turut melibatkan pembangunan insan.
“Apabila wanita memimpin dengan visi dan integriti, ia secara langsung akan mengangkat martabat industri ini ke tahap yang lebih tinggi untuk semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
