Terengganu lancar Garis Panduan Hiburan

Dr Ahmad Samsuri (dua dari kanan) menunjukkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang dilancarkan bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah.
Dr Ahmad Samsuri (dua dari kanan) menunjukkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang dilancarkan bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu hari ini melancarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, garis panduan tersebut diwujudkan hasil perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Mufti dan ia akan diedarkan kepada semua jabatan serta agensi kerajaan sebagai rujukan.

“Ia bukan satu enakmen atau penguatkuasaan undang-undang, tiada hukuman dikenakan jika berlaku pelanggaran cuma permohonan program kepada PBT atau pihak berkaitan perlu berdasarkan kepada garis panduan ini.

“Perkara berkaitan garis panduan atau etika adalah perkara biasa, semua tempat ada etika dan garis panduan yang perlu dipatuhi, jadi tidak pelik bagi sebuah negeri yang ingin jaga maslahah lebih besar di kalangan rakyatnya.

“Ini kerana tanggungjawab sebuah kerajaan memastikan rakyatnya terpelihara dan dijauhi sebarang masalah yang boleh menganggu keharmonian,” katanya selepas melancarkan garis panduan itu sempena kempen Indahnya Hidup Bersyariat di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Mohd dan Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Mustafar Hamzah.

Garis panduan itu disediakan sebagai asas rujukan kepada pihak berkuasa, penganjur dan orang awam bagi penganjuran serta penyertaan sebarang bentuk aktiviti hiburan, persembahan kebudayaan, pelancongan dan sukan agar tidak menyalahi akidah dan syariat.

Pada majlis itu, Dr Ahmad Samsuri turut melancarkan pasukan sukarelawan Syariah negeri Terengganu sebagai langkah untuk memartabatkan syariah Islam dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, lebih 500 individu dari seluruh negeri ini sudah mendaftar sebagai sukarelawan Syariah yang berfungsi membantu 100 penguat kuasa Syariah membanteras maksiat dan aktiviti tidak sopan.

“Dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang syariah, saya menyeru kepada semua pegawai penguat kuasa syariah dan mana-mana orang yang diberi kuasa untuk melaksanakannya, sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan, bertindak dengan penuh bijaksana, berintegriti, tidak menimbulkan sebarang kegusaran dan penganiayaan kepada mana-mana pihak.

“Menjadi tanggungjawab semua pegawai penguat kuasa syariah mematuhi dan menghayati SOP (Standard Operation Procedure) yang telah ditetapkan dari masa ke semasa,” katanya.