Bapa maut berlumuran darah, dipercayai dibunuh anak sendiri

Seorang warga emas ditemui maut dengan kesan tikaman di bahagian kanan perut dan kesan hirisan di bahagian dada kanan.
Seorang warga emas ditemui maut dengan kesan tikaman di bahagian kanan perut dan kesan hirisan di bahagian dada kanan.
A
A
A

IPOH – Polis menahan reman seorang lelaki kerana disyaki membunuh bapanya dalam kejadian di Taman Tasek Damai, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 31 tahun itu direman selama tujuh hari bermula Rabu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 57 tahun ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di bahagian dapur rumah.

“Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 8.26 malam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di bahagian belakang rumah.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi, selain tiada sebarang kehilangan barang berharga yang dialami mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Beliau berkata, suspek yang tinggal bersama mangsa memaklumkan bahawa kali terakhir bapanya memberi respons terhadap mesej di telefon adalah sekitar jam 2.40 petang.

Katanya, sekitar jam 7.30 malam, suspek pulang dari kerja dan mendapati pintu pagar dalam keadaan tertutup, manakala pintu jeriji dan pintu cermin rumah terbuka serta keadaan sofa di ruang tamu tidak tersusun.

“Suspek mendakwa telah pergi ke dapur dan menemui bapanya dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Menurut Abang Zainal Abidin, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa menemukan kesan tikaman di bahagian kanan perut dan kesan hirisan di bahagian dada kanan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, siasatan forensik di lokasi kejadian turut menemui sebilah pisau kecil berukuran 22 sentimeter yang telah dibersihkan dan dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Motif kejadian masih dalam siasatan. Polis telah merampas telefon bimbit milik suspek, kamera papan pemuka kereta dan sebuah dekoder CCTV bagi membantu siasatan kes ini,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!