'Kalau saya bukan MB, kita tetap kawan'

Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita.
Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita.
A
A
A

IPOH - Kalau saya bukan lagi Menteri Besar, kita tetap kawan. Itu reaksi spontan diberikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditanya mengenai kedudukan Menteri Besar.

Beliau yang ditemui media di pekarangan luar Istana Kinta selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebentar tadi memberitahu, dirinya berlapang dada dengan apa juga keputusan dan perkenan baginda.

"Saya ucap terima kasih kepada media yang sudi menanti sekian lama sejak lebih dua minggu lalu dalam 'drama' di Perak ini.

"Saya harap semua kekal sihat dan jaga kesihatan. Saya sentiasa ceria walau dalam apa juga kapasiti," katanya.

Bekas Menteri itu sempat menyanyikan lagu 'Selamat Tinggal Bungaku' dendangan Allahyarham Tan Sri SM Salim sejurus tamat sidang media.

Terdahulu, Ahmad Faizal bersama Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas, Razman Zakaria menghadap Sultan Nazrin bagi menyembah maklum calon Menteri Besar Perak daripada setiap parti komponen.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, dalam pertemuan hampir sejam itu, setiap pengerusi parti telah menyembah warkah untuk bersetuju mencadangkan tiga nama sebagai calon Menteri Besar ke-13 iaitu dirinya mewakili Bersatu, Saarani (UMNO) dan Razman (Pas).

"Perkara ini belum diputuskan, terpulang kepada tuanku. Saya harap semua rakyat bertenang menantikan pengumuman yang akan dibuat baginda nanti.

Artikel Berkaitan:

"Baginda telah menitahkan agar kami semua ahli politik dan rakyat lebih mementingkan kestabilan politik, tidak bercakaran sesama sendiri dan mementingkan keselamatan serta kesihatan seluruh rakyat Perak," katanya.

Selasa lalu, Sultan Nazrin memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ke-12, sekali gus menyaksikan perlucutan jawatan semua anggota Exco negeri itu.