Syed Saddiq bebas daripada jel 7 tahun, 2 sebatan, denda RM10 juta

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman atas empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), tujuh tahun lalu.
Ia membabitkan satu kes subahat pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta (RM120,000) dan dua pengubahan wang haram (AMLA) masing-masing (RM50,000).
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq, 33, untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mendengar keputusan itu, Syed Saddiq selaku perayu, yang hadir dengan memakai kot berwarna hitam, meraup muka kemudian memeluk ibu bapanya sambil diperhatikan penyanyi, Bella Astillah.
Ketika membaca keputusan sebulat suara yang memakan masa selama satu jam 11 minit, Hakim, Noorin berkata, pertuduhan dihadapi anak kelahiran Johor Bahru itu tidak berasas.
“Tindakan memerintah atau mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana.
“Pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta itu dikeluarkan daripada dana Armada,” katanya.
Selain itu beliau berkata, pendakwaan gagal membuktikan bekas Ketua Armada Bersatu itu tidak jujur menyebabkan perayu memperoleh keuntungan secara salah dan kerugian kepada parti itu.
Menurutnya, pendakwaan selaku responden gagal membuktikan kesalahan bagi pertuduhan pertama iaitu bersubahat melakukan pecah amanah, selain gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta dikeluarkan daripada dana parti.
Katanya, dakwaan ketidakjujuran perayu yang membawa kepada keuntungan atau kerugian pada pihak Armada juga tidak dapat dibuktikan.
Beliau menambah, Hakim Mahkamah Tinggi gagal menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan ia membawa kepada kekhilafan ketika mencapai keputusan mensabit dan menghukum Syed Saddiq sehingga ini memerlukan campur tangan mahkamah.
Menurutnya, pendakwaan juga gagal menunjukkan bukti bagi menyokong pertuduhan kedua, iaitu menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).
“Tiada bukti yang menghubungkan kes pendakwaan bahawa wang yang dikeluarkan itu, adalah milik ABBE atau perayu sendiri, selain tiada bukti Syed Saddiq telah menyalahgunakan wang terbabit.
“Bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram, mahkamah mendapati tiada dapatan dibuat oleh hakim perbicaraan berkenaan pembelaan perayu bahawa wang itu bukan hasil daripada aktiviti haram.
“Tiada sebab untuk mengesyaki bahawa RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun ASB (Amanah Saham Bumiputera) milik perayu adalah hasil daripada aktiviti haram atau berkaitan dengan kesalahan itu," katanya.
Berdasarkan alasan-alasan berkenaan, Hakim, Ahmad Zaidi berkata, mahkamah membenarkan rayuan Syed Saddiq kerana mendapati sabitan oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak selamat.
“Susulan itu, perayu dilepaskan dan dibebaskan daripada sabitan bersalah serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, denda RM10 juta,” katanya.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan terbabit.
Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat pertuduhan itu serta mengetepikan hukuman terbabit.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

