Rakyat yakin kerajaan mampu kawal selia AI – Ipsos

KUALA LUMPUR – Tujuh daripada 10 rakyat Malaysia menyatakan keyakinan terhadap kemampuan kerajaan mengawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab, menurut Tinjauan AI 2025 oleh firma penyelidikan global, Ipsos.
Prinsipal Ipsos Strategy3, Ganesan Periakarruppan berkata, dapatan itu menunjukkan rakyat negara ini bukan sahaja teruja terhadap teknologi baharu, malah menyokong penuh usaha kerajaan dalam memastikan AI dimanfaatkan secara seimbang dan beretika.
“Tinjauan terkini kami mendapati bahawa rakyat Malaysia pada umumnya berpandangan positif terhadap kecerdasan buatan. Tiga daripada empat orang percaya bahawa AI telah mengubah kehidupan harian mereka dengan ketara dalam tempoh tiga hingga lima tahun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain menunjukkan tahap keterujaan dan penerimaan yang tinggi terhadap perubahan yang dibawa oleh AI, berbanding negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun.
Katanya, pada tahun 2025, lebih 50 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa AI akan meningkatkan mutu pekerjaan mereka, satu peningkatan ketara berbanding 2024, sekaligus mencerminkan tahap kesediaan rakyat dalam menerima penerapan teknologi tersebut dalam sektor pekerjaan.
Mengulas lanjut, Ganesan berkata keyakinan rakyat terhadap kawal selia kerajaan membuka ruang penting untuk Malaysia menyeimbangkan antara inovasi teknologi dan perlindungan sosial.
“Situasi ini selari dengan pelbagai inisiatif kerajaan dalam menjadikan AI sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, mempertingkatkan perkhidmatan awam dan memastikan pembangunan AI yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Tinjauan AI 2025 dijalankan antara 21 Mac hingga 4 April lalu, melibatkan 500 responden dewasa di Malaysia yang berumur antara 18 hingga 74 tahun, sebagai sebahagian daripada kaji selidik global merangkumi 30 negara dan lebih 23,000 individu di seluruh dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

