Fenomena 'laut terbelah' di Langkawi

Pengunjung di Pantai Tanjung Rhu, pagi ini teruja apabila berpeluang berjalan hampir 600 Meter bermula dari pantai tersebut hingga ke tiga pulau kecil berhampiran berikutan fenomena laut seakan terbelah sehingga menampakkan beting pasir. - Foto Bernama
Pengunjung di Pantai Tanjung Rhu, pagi ini teruja apabila berpeluang berjalan hampir 600 Meter bermula dari pantai tersebut hingga ke tiga pulau kecil berhampiran berikutan fenomena laut seakan terbelah sehingga menampakkan beting pasir. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Hampir 200 pengunjung di Pantai Tanjung Rhu, pagi ini teruja apabila berpeluang berjalan kaki sejauh 600 meter di atas beting pasir yang menghubungkan pantai itu ke tiga pulau kecil berhampiran susulan fenomena 'laut terbelah' akibat air surut.

Pakar Alam Semulajadi Tanjung Rhu Resort Langkawi, Zoher Mustan berkata, aktiviti berjalan menyusuri beting pasir yang berlaku selama dua jam itu dapat dirasai para pengunjung pantai dan resort itu setahun sekali.

"Beting pasir ini boleh berlaku di banyak tempat di Malaysia termasuk di Langkawi. Setiap kali bulan penuh, fenomena air surut (akan berlaku) hingga naik beting pasir.

"Masa itu kita boleh berjalan menyusuri beting pasir, fenomena ini berlaku hari ini, sekiranya terlepas orang ramai perlu tunggu tahun depan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, selain Pantai Tanjung Rhu, fenomena itu turut dapat disaksikan di dua lagi lokasi iaitu di Teluk Datai dan Pantai Chenang.

"Apa yang lebih menarik, pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan sebelah, gamat, belangkas dan kuda laut ketika menyusuri beting pasir," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan berkata, program berjalan menyusuri beting pasir merupakan acara tahunan khas buat tetamu di Tanjung Rhu Resort Langkawi, namun kali ini penganjuran dibuat lebih besar untuk memberi peluang orang ramai menikmati pengalaman menarik tersebut.

"Program berjalan di atas beting pasir ini merupakan satu langkah Tanjung Rhu Resort Langkawi, LADA serta beberapa rakan kerjasama lain untuk mengetengahkan keindahan alam sekitar dan semula jadi kepada rakyat Malaysia dan pelancong asing.

Artikel Berkaitan:

"Ia harus dijadikan acara tahunan dengan aturan program lebih baik. Saya kira program ini boleh jadi tarikan ramai pada tahun akan datang kerana pengalaman luar biasa yang diperoleh apabila berjalan menyusuri beting pasir ini tadi pelbagai hidupan laut termasuk yang masih hidup kita dapat lihat, rasa kita rapat dengan alam satu keseronokan yang tidak dapat dibeli," katanya. - Bernama