Remaja kini generasi strawberi, emosi rapuh

KECEKALAN kanak-kanak dan remaja dalam menghadapi tekanan emosi, khususnya apabila dimarahi ibu bapa kerana melakukan kesalahan atau tidak menunjukkan kesungguhan dalam pelajaran, menunjukkan perubahan ketara berbanding generasi terdahulu.
Perubahan ini berpunca daripada pelbagai faktor termasuk gaya keibubapaan moden, pengaruh teknologi dan cabaran kesihatan mental yang semakin ketara dalam kalangan generasi muda hari ini.
Zaman dahulu, pendekatan ibu bapa lebih tegas. Dimarahi kerana kesalahan atau tidak belajar bukan sahaja dianggap perkara biasa, malah menjadi sebahagian daripada proses mendisiplinkan anak-anak.
Kebanyakan kanak-kanak pada waktu itu menerima teguran sebagai motivasi untuk berubah. Namun, situasi kini berbeza.
Ramai ibu bapa moden cenderung memilih pendekatan lebih lembut dan berhemah kerana lebih prihatin terhadap emosi anak.
Kanak-kanak dan remaja zaman sekarang pula dilihat lebih sensitif terhadap teguran keras dan mudah berasa tertekan atau triggered, meskipun dengan nasihat yang berniat baik.
Antara faktor utama yang mempengaruhi kecekalan emosi generasi kini ialah keterdedahan mereka kepada media sosial dan persekitaran digital yang mempengaruhi cara mereka memproses emosi.
Banyak remaja mengukur harga diri berdasarkan reaksi orang lain dalam talian, yang secara tidak langsung melemahkan ketahanan dalaman mereka.
Jadi inilah yang dimaksudkan sebagai generasi strawberi oleh pakar-pakar bidang sosial.
Salah satu fenomena yang menonjol dalam kalangan generasi muda kini ialah kecenderungan untuk memberontak apabila dimarahi atau ditegur, khususnya berkaitan disiplin dan pelajaran.
Ini menunjukkan perubahan besar dalam struktur emosi dan daya tahan mereka berbanding generasi terdahulu.
Sifat memberontak bukanlah perkara baharu dalam fasa perkembangan remaja. Namun, perbezaannya hari ini adalah cara dan intensiti pemberontakan itu semakin ketara dan kadangkala berbahaya.
Ia tidak lagi sekadar menunjukkan muka masam atau enggan bercakap, tetapi melibatkan tindakan agresif seperti memaki, melawan secara terbuka di media sosial dan mengugut untuk lari dari rumah.
Menurut data Kementerian Kesihatan lebih 400,000 remaja mengalami masalah kesihatan mental sejak pandemik Covid-19.
Ini memperkukuh hujah bahawa kecekalan mereka terhadap tekanan semakin berkurang, sekali gus menjadikan cabaran keibubapaan lebih kompleks.
Namun, kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya remaja atas perubahan ini. Sistem pendidikan yang kompetitif, tekanan sosial, serta jangkaan tinggi daripada ibu bapa dan masyarakat telah mewujudkan beban yang besar dalam diri mereka.
Dalam masa yang sama, ramai ibu bapa masih mengamalkan pendekatan 'saya dulu pun kena marah, elok je jadi orang berguna' tanpa menyedari konteks dan persekitaran hari ini amat berbeza.
Oleh itu, pendekatan keibubapaan dan sistem sokongan emosi perlu berubah. Dimarahi atau ditekan untuk belajar bukan lagi cukup untuk melahirkan anak yang cekal dan berjaya.
Sebaliknya, pendekatan yang menekankan komunikasi berkesan, empati dan dorongan positif perlu diperkukuh.
Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu memberi ruang kepada anak-anak untuk meluahkan perasaan, memahami kegagalan sebagai sebahagian proses pembelajaran dan bukan menjadikannya sebagai alasan untuk menghukum secara emosi.
Kesimpulannya, kecekalan emosi golong ini bukan semakin lemah, tetapi bentuk kecekalan itu telah berubah. Ia perlu dibentuk melalui bimbingan yang sesuai dengan zaman mereka. Dalam dunia yang semakin mencabar, kita perlukan generasi muda yang bukan sahaja pandai, tetapi juga berjiwa kental.
Ini hanya dapat dicapai melalui pendekatan yang seimbang antara disiplin dan kasih sayang.
*Syajaratulhuda Mohd Rosli ialah wartawan Sinar Harian Edisi Utara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!