Dua penerbangan balik jemaah haji dijadual semula

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Dua penerbangan balik jemaah haji akan dijadualkan semula atas nasihat keselamatan syarikat penerbangan dan bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa operasi penerbangan di Asia Barat.
Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, penerbangan yang akan mengalami penjadualan semula adalah KT043 (MH8301) dari Madinah yang sepatutnya dijadualkan berlepas pada jam 5.10 pagi dan KT034 (MH8291) dari Jeddah yang dijadualkan berlepas pada jam 6.40 pagi waktu tempatan.
Menurutnya, kedua-dua penerbangan carter haji tersebut telah ditunda sekurang-kurangnya 24 jam dari jadual asal.
"Penjadualan baharu sedang disusun dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa, termasuk penyelarasan trafik udara dan keperluan logistik.
"Kesemua jemaah yang terlibat telah ditempatkan sementara di hotel sekitar Jeddah dan Madinah bagi memastikan kebajikan dan keselesaan mereka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan, ruang udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini ditutup berdasarkan laluan penerbangan dan audio kawalan trafik udara, menurut satu hantaran oleh FlightRadar di X.
Hantaran itu dibuat selepas Qatar menutup ruang udaranya buat sementara waktu sebagai sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil susulan perkembangan di rantau tersebut dan laporan daripada Axios, yang memetik seorang pegawai Israel, bahawa Iran telah melancarkan enam peluru berpandu ke arah pangkalan Amerika Syarikat (AS) di Qatar.
Sehubungan itu, TH menambah, koordinasi di lapangan terbang sedang giat dijalankan antara pihak syarikat penerbangan dan TH bagi memastikan kelancaran urusan logistik jemaah.
"Setakat ini sebanyak 39 penerbangan telah tiba di tanah air dengan baki 61 penerbangan lagi.
"Sebarang perkembangan lanjut, termasuk perubahan jadual oleh syarikat penerbangan, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
