Kehabisan wang, lelaki Malaysia samun, rempuh polis di Batam

Polis Indonesia menunjukkan barang kes yang dirampas daripada suspek. Foto : iNews.id
Polis Indonesia menunjukkan barang kes yang dirampas daripada suspek. Foto : iNews.id
A
A
A

BATAM - Lelaki warga Malaysia ditahan di Batam, Indonesia, selepas dipercayai merompak seorang wanita menggunakan pistol jenis airsoft, melarikan kereta mangsa serta mencederakan anggota polis ketika cuba meloloskan diri Jumaat lalu.

Suspek, 41, yang berasal dari Melaka itu dipercayai mengugut mangsa berusia 48 tahun menggunakan pistol airsoft dan sebilah pisau sebelum melarikan Toyota Rush bersama barangan berharga yang keseluruhannya dianggarkan bernilai 292 juta rupiah (RM73,000).

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Barelang, Komisioner Agung Tri Poerbowo berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki Indonesia pada 15 September lalu untuk bercuti, namun tinggal lebih masa selama 10 hari selepas kehabisan wang.

“Suspek kemudian merancang melakukan rompakan secara rawak bagi mendapatkan wang untuk membiayai tambang pulang ke Malaysia,” katanya kepada media Indonesia.

Menurutnya, mangsa baru selesai membayar cukai kenderaan dan mengeluarkan wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Harbour Bay sebelum memasuki keretanya.

Suspek kemudian tiba-tiba meluru masuk ke tempat duduk penumpang dan mengacukan senjata sebelum mengarahkan mangsa memandu ke kawasan Bukit Senyum.

Setibanya di pekarangan sebuah taman perumahan, suspek memaksa mangsa memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank peribadinya.

Bagaimanapun, tindakan mangsa menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek panik sebelum menolaknya keluar dari kenderaan dan melarikan kereta berkenaan.

Kebetulan, seorang anggota polis trafik yang berada berhampiran menyedari kejadian itu lalu mengejar dan memintas kenderaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Suspek bagaimanapun enggan menyerah diri, malah mengacukan pistol airsoft sebelum merempuh anggota polis terbabit sehingga mengalami kecederaan.

Hasil soal siasat mendapati pistol airsoft itu dibeli suspek daripada seorang pengawal keselamatan pangsapuri pada harga satu juta rupiah (RM250).

Pengawal keselamatan terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

Suspek berdepan hukuman penjara maksimum sembilan tahun jika disabitkan kesalahan mengikut Artikel 365 Kanun Keseksaan Indonesia atas tuduhan mencuri dengan kekerasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!