Konflik aktiviti jenayah, dendam lama motif kes tembak

KUALA LUMPUR - Dua kes tembak mati yang berlaku dalam tempoh empat hari di sekitar ibu kota dipercayai akibat perseteruan antara suspek dan mangsa.
Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian sekumpulan lelaki menembak mati dua lelaki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras pada Selasa dipercayai akibat aktiviti penyeludupan barang yang terjadi di Sibu, Sarawak.
Manakala kejadian tembak di Brickfields pada Jumaat lalu adalah dipercayai akibat daripada konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, masyarakat di sekitar ibu negara tidak perlu bimbang dengan keselamatan dan ketenteraman awam di Kuala Lumpur.
"Kes tembak di Cheras, kedua-dua lelaki yang didapati mempunyai rekod jenayah baharu tiba dari Sibu, Sarawak, dan datang ke sini (Kuala Lumpur) atas urusan peribadi.
"Berkemungkinan, pada masa sama mereka diekori oleh seteru atau pihak yang tidak berpuas hati atau mempunyai dendam sebelum mencari masa dan waktu sesuai untuk menembak mati mereka," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Rusdi berkata, kes tembak membabitkan kematian seorang lelaki dan mencederakan dua lagi individu di Brickfields, Jumaat lalu turut dilaporkan membabitkan perseteruan antara mangsa dan musuhnya di Selangor.
"Kes ini membabitkan masalah di Selangor, namun musuh mereka mencari masa yang sesuai untuk menembak mati mangsa ketika dia berada di restoran di Jalan Tun Sambathan, di sini.
"Malah mangsa yang ditembak juga didapati datang ke restoran berkenaan selepas dia dibebaskan dari tahanan reman akibat kes di Selangor," katanya.
Katanya, meskipun kejadian yang berlaku ini berpunca daripada luar, namun pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap komited melaksanakan siasatan dan menghadapkan mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Saya berharap masyarakat akan terus bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan pihak Polis Kuala Lumpur dalam membanteras sebarang aktiviti jenayah serta sebarang pelakuan yang boleh memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Mengulas mengenai siasatan kedua-dua kes itu, Rusdi berkata, pada masa ini pihaknya sudah menggerakkan kesemua elemen dalam mengenalpasti suspek terlibat dan mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada Selasa, polis sedang mengesan suspek yang menembak dua lelaki di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Yusuf Jan Mohamad dilaporkan berkata, pihak telah menerima laporan berkaitan insiden itu pada jam 12.48 tengah malam.
Sekumpulan lelaki bertopengkan ski hitam menaiki kenderaan jenis Perodua Alza. Dalam kejadian tersebut dua lelaki tempatan dalam berusia 40-an telah terkena tembakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
