X

Kindly register in order to view this article
!

Arab Saudi perluas larangan perjalanan

Arab Saudi hari ini menghentikan sementara kesemua perjalanan dari dan ke hampir seluruh negara Kesatuan Eropah (EU) dan 12 lagi negara di Asia serta Afrika selepas jumlah jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara itu meningkat kepada 45 kes.
A
A

RIYADH - Arab Saudi hari ini menghentikan sementara kesemua perjalanan dari dan ke hampir seluruh negara Kesatuan Eropah (EU) dan 12 lagi negara di Asia serta Afrika selepas jumlah jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara itu meningkat kepada 45 kes.

Kementerian Dalam Negeri memaklumkan rakyat Saudi yang berada di negara berdepan larangan perjalanan itu diberi tempoh 72 jam untuk kembali ke Riyadh sebelum langkah penggantungan itu berkuat kuasa.

Difahamkan, pengangkutan dari seluruh pelabuhan dengan Jordan juga digantung kecuali untuk laluan penumpang yang dianggap sebagai 'kes kemanusiaan' dan pengecualian untuk laluan komersial serta kargo.

Selain itu, mereka yang dikecualikan ialah pekerja kesihatan dari Filipina dan India yang bertugas di negara tersebut, perkhidmatan penghantaran dan perdagangan yang perlu mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan kes jangkitan terbaharu melibatkan seorang lelaki dan wanita yang kini diletakkan di bawah langkah kuarantin selepas kembali dari Iraq.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di wilayah Qatif turut tersenarai dalam kes jangkitan terbaharu dan dipercayai dijangkiti daripada datuknya yang pulang dari Iran.

Sementara itu, baki 21 kes melibatkan warga Mesir yang mempunyai kontak dengan seorang rakan mereka dari Kaherah yang disahkan positif virus tersebut.

Difahamkan, hanya seorang pesakit dilaporkan telah sembuh manakala yang lain masih dirawat. - Agensi

Info:

>Pada Isnin lalu, Arab Saudi menggantung perjalanan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain, Lubnan, Syria, Mesir, Iraq, Oman, Itali, Korea Selatan, Perancis, Jerman, Turki dan Sepanyol.

>Senarai baharu larangan perjalanan itu melibatkan Switzerland, India, Pakistan, Sri Lanka, Filipina, Sudan, Ethiopia, Sudan Selatan, Eritrea, Kenya, Djibouti dan Somalia.

>Sejak awal Februari lalu, Riyadh telah menggantung perjalanan dari dan ke China.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus