Bicara kes Vivy, suami April tahun depan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya berhubung dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad, di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, ditetapkan bermula 13 April tahun hadapan.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan prosiding kes Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Datuk Fadzarudin Shah Anuar, 37, berlangsung selama 15 hari, iaitu dari 13 hingga 17 April, 18 hingga 22 Mei, dan 8 hingga 12 Jun 2026.
Beliau turut menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes terbabit.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Sementara itu, pasangan suami isteri tersebut tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili oleh peguam, M. Athimulan.
Pada 5 Disember 2024, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, dengan niat bersama sebagai ejen, iaitu Pengarah FashionValet, yang diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB.
Mereka didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka itu ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara, di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Januari lalu, mereka turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan, iaitu secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat yang sama, iaitu dana pelaburan berkenaan, di sebuah bank cawangan di Bukit Damansara pada tarikh yang sama.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

