Rawat bukan sekadar dengan ilmu, tapi dengan hati - Steven

Steven (kanan) ketika menghadiri majlis konvokesyen Dr Saundarya. - Foto: FB Steven Sim Chee Keong
Steven (kanan) ketika menghadiri majlis konvokesyen Dr Saundarya. - Foto: FB Steven Sim Chee Keong
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkongsi kisah menyentuh hati tentang seorang pelajar yang pernah dibantu membayar yuran pengajian dan kini bergelar doktor.

Steven menerusi satu perkongsian di Facebook pada Ahad memaklumkan bahawa pelajar bernama Saundarya hampir tidak dapat menduduki peperiksaan akhir kerana tidak mampu melunaskan yuran semester.

Difahamkan, jumlah hutang pengajian mencecah puluhan ribu ringgit dan hanya tinggal beberapa hari sebelum tarikh akhir pembayaran.

Saundarya (tengah) dan ibu dan bapanya di majlis konvokesyen. - Foto: FB Steven Sim Chee Keong
Saundarya (tengah) dan ibu dan bapanya di majlis konvokesyen. - Foto: FB Steven Sim Chee Keong

“Ayahnya seorang pemandu lori, berusia 60 tahun, sudah tidak larat bekerja tetapi tetap bertekad mahu membantu anaknya mencapai cita-cita menjadi seorang doktor.

“Ketika saya melawat rumah mereka untuk membayar hutang yuran pengajian itu, ayahnya berkata, dia pemandu lori, datuknya pula penoreh getah, namun beliau mahu anaknya berjaya dalam hidup.

“Lima tahun bekerja keras bermandi keringat dan air mata, hari ini Saundarya akhirnya bergelar doktor. Saya amat bangga apabila dijemput oleh keluarganya untuk menghadiri majlis konvokesyen Dr Saundarya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Steven berpelukan bersama ayah Saundarya - Foto: FB Steven Sim Chee Keong
Steven berpelukan bersama ayah Saundarya - Foto: FB Steven Sim Chee Keong

Menurut Steven, lebih membanggakan apabila Saundarya turut menerima pingat pelajar cemerlang dan tiga kali meraih Anugerah Dekan sepanjang pengajian.

Beliau berkata, bantuan yang diberikan dahulu bukanlah untuk mengharapkan balasan, sebaliknya berharap Saundarya akan sentiasa mengingati jasa kedua-dua ibu bapanya.

“Dr Saundarya akan mula bertugas di salah sebuah hospital di Pulau Pinang minggu hadapan.

“Saya berpesan kepadanya bahawa saya tidak mengharapkan sebarang balasan, tetapi Saundarya perlu sentiasa ingat jasa ibu ayah sampai bila-bila. Apabila memakai kot putih nanti, berusahalah sebaik mungkin untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Apabila berhadapan dengan pesakit daripada golongan kurang berkemampuan, ingat kembali bilik sewa kecil tempat awak belajar, roti dan mi segera yang menemani malam-malam sukar itu. Rawat mereka bukan sekadar dengan ilmu, tetapi dengan hati,” ujarnya.

Susulan itu, Steven mengucapkan selamat bertugas dan menitipkan pesan bahawa dunia memerlukan lebih ramai doktor yang bukan sahaja cemerlang tetapi berjiwa besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!